KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu persatuan sukan kebangsaan yang berhasrat mengambil bahagian pada temasya Sukan Dunia di Kaohsiung, Taiwan, Julai inI, supaya menanggung perbelanjaan masing-masing.Setiausahanya Datuk Sieh Kok Chi berkata MOM sebenarnya kabur mengenai tujuan sukan tersebut kerana penganjur tidak menghubungi mereka yang bertindak sebagai penaung kepada semua persatuan sukan kebangsaan di negara ini. "Setahu saya, penyertaan pada temasya itu berdasarkan jemputan. Bagi MOM, kita tidak mengiktiraf Sukan Dunia sebagai pertandingan kompetitif tetapi lebih kepada soal pertunjukkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.Sieh berkata beliau menerima surat dari Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bulan lepas yang meminta MOM mengiktiraf sukan itu tetapi oleh kerana temasya itu dikendalikan oleh Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA), selaku badan bebas, MOM berpendapat pihak penganjur hanya mahu membuat keuntungan segera.Bagi persatuan sukan tempatan, sukan boling, bina badan, karate dan skuasy telah menunjukkan minat untuk menyertai edisi kelapan sukan itu dari 16 hingga 26 Julai ini dan mereka perlu membiayai perbelanjaan sendiri, katanya.Edisi pertama sukan itu diadakan di Santa Clara, Amerika Syarikat, pada 1981 dan sejak iti ia dianjurkan empat tahun sekali kecuali pada tahun berlangsungnya Sukan Olimpik.Pada temasya di Kaohsiung nanti, seramai 4,500 atlet dari 99 negara dijangka menyertai dalam 31 acara sukan yang dipertandingkan.Antara sukan yang dipertandingkan adalah skuasy, boling, gimnastik akrobatik, sukan menari, biliard, sumo, wushu, kenu, polo air, ragbi tujuh sebelah, sofbol, bina badan, memanah, ski air dan perahu naga. BERNAMA