suria

Jurulatih digugur jika atlet gagal menyerlah pada Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Jurulatih olahraga sepenuh masa yang dibayar gaji oleh Majlis Sukan Negara (MSN) akan dikenakan tindakan termasuk tidak disambung kontrak jika anak buah mereka gagal menyerlah pada Sukan SEA.

Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim berkata ada antara jurulatih itu telah berkhidmat selama 13 tahun tetapi tidak mampu melahirkan seorang atlet pun yang dapat meraih emas pada Sukan SEA.

"Sukan SEA merupakan temasya peringkat rendah. Jika sebutir emas pun tidak mampu dicapai oleh atlet bimbingannya, itu bermakna jurulatih itu tidak efisien," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata penekanan terhadap taraf Sukan SEA juga dibuktikan apabila Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri mencadangkan hanya atlet pelapis dihantar ke temasya dwi-tahunan itu.

Karim berkata ketika ini, terdapat 10 jurulatih olahraga sepenuh masa berkhidmat di bawah MSN iaitu Mohd Hanipah Nasir (lompatan), Harun Rasheed Othuman (pecut), K.Jayabalan (400m), Alforo (Lompatan), Vladimir Hristiv Simenov (lompatan), S.Muthiah (jarak jauh), Lou Cwee Peng (lompat jauh), Mohd Nazar Abdul Rahim (lompatan), Frantisek Petrovic (lompatan) dan Mohd Mansahar Abd Jalil (lompatan).

Majoriti daripada jurulatih itu menunjukkan prestasi membanggakan apabila berjaya melahirkan atlet yang berpotensi meraih pingat di peringkat sukan Komanwel, Asia dan Olimpik, katanya.

Sementara itu, Karim berkata Program Pasti Menang 20092019 yang bertujuan melahirkan atlet bertaraf Olimpik akan memberi lebih tumpuan kepada acara lompat jauh dan lompat tinggi.

Beliau yang juga pengerusi kejurulatihan dan pembangunan KOAM berkata berdasarkan pemerhatian KOAM dalam tiga temasya Olimpik, atlet Malaysia berpeluang cerah untuk meraih pingat dalam dua acara itu berbanding acara lain.

"Secara purata, atlet yang memenangi pingat gangsa di Olimpik melakukan lompatan antara 8.0m hingga 8.4 meter dalam acara lompat jauh dan 2.30m hingga 2.35m pada lompat tinggi.

"Rekod kebangsaan bagi acara lompat jauh kini dipegang oleh Josbert Tinus dengan catatan 7.88m sementara rekod lompat tinggi oleh Lee Hup Wei yang melakukan 2.27m.

"Ini menunjukkan jurang lompatan atlet kita tidaklah terlalu jauh berbanding pemenang pingat Olimpik. Kita telah berada di peringkat itu tetapi perlukan usaha serta teknik yang betul," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata KOAM telah menyediakan pelan tindakan bagi Program Pasti Menang 2009-2019 untuk mencari atlet pelapis yang berpotensi serta mengadakan bengkel pada awal Mei ini untuk mendapatkan input bagi menjayakan program itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan