suria

Malaysia berjaya ikat Australia 3-3

KUANTAN: Skuad hoki negara berjaya menghalang Australia meraih kemenangan hatrik apabila mencipta keputusan seri 3-3 pada perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Belia di sini hari ini.

Ketinggalan 3-0 pada babak pertama tidak mematahkan semangat pemain Malaysia untuk bangkit semula pada babak kedua bagi membalas jaringan gol.

Bagaimanapun, Australia di bawah bimbingan Richard Charlesworth, memulakan perlawanan dengan penuh bersemangat, pantas dan yakin untuk membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 menerusi ketua pasukan Liam De Young.

Dua minit kemudian, Malaysia menerima tamparan apabila Australia menambah gol kedua menerusi pukulan sudut penalti oleh C.Ciriello sebelum Fergus Ravanagh mengukuhkan kedudukan pasukan pelawat pada minit ke-31.

Malaysia tampil semula ke gelanggang selepas waktu rehat dengan suntikan semangat dan mula memperkemaskan permainan.

Hasil gerakan kemas pada awal babak kedua membuahkan hasil apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil merapatkan jurang jaringan pada minit ke-38.

Penguasaan pasukan bimbingan Tai Beng Hai itu kemudiannya diterjemahkan lagi menerusi gol kedua pada minit ke-53 oleh Muhammad Razie Abd Rahim.

Pemain senior Jivan Mohan menyamakan kedudukan pada minit ke-68 melalui pukulan sudut penalti bagi menutup saingan dengan keputusan seri.

Sementara itu, Beng Hai menganggap pasukan negara telah berjaya menunjukan rentak permainan seperti yang diinginkan.

"Dalam dua perlawanan (persahabatan) lepas, kita masih belum mencapai rentak yang sepatut berdasarkan penglibatan dalam kejohanan yang kita telah disertai," katanya.

Namun untuk penilaian penuh, katanya, pasukan negara masih belum mencapai tahap pertarungan sebenarnya.

Malaysia sebelum ini tewas dua perlawanan awal kepada skuad simpanan Australia itu masing-masing 1-3 dan 1-5 di Stadium Hoki Tun Razak di Kuala Lumpur. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain