SIBU: Sekumpulan 20 peserta terjun BASE dari Australia, New Zealand, United Kingdom, Rusia dan Singapura mengesahkan penyertaan mereka dalam acara Sibu BASE Jump 2009 pada 31 Okt.Eksekutif Lembaga Pelancongan Sibu Rudy Anoi memberitahu, kontinjen Malaysia, yang diketuai penerjun Aziz Ahamd yang juga Presiden BASE Jump Malaysia, akan turut menyertai acara itu. Aziz dan anggota pasukannya akan membuat latihan penerjunan pada 30 Okt.Penerjun terkenal Australia, Gary Cunningham, 37, yang mempunyai 16 tahun pengalaman dalam sukan terjun dan membuat lebih 1,800 terjunan, merupakan antara nama besar yang akan menyertai acara itu.Acara itu akan bermula pada pukul 3 petang di bangunan Wisma Sanyan setinggi 126 meter tetapi pada sebelah pagi akan diadakan satu perhimpunan di Dataran Bandar Sibu untuk memperkenalkan para penerjun kepada orang ramai, katanya.Rudy berkata acara itu, yang disenaraikan dalam acara Tahun Melawat Sibu 2009, bertujuan memperkenalkan sukan ekstrim itu kepada golongan belia.Terjunan BASE (akronim daripada Building, Antenna, Span dan Earth) merupakan sukan terjun menggunakan payung terjun dari satu struktur tetap. BERNAMA