SEPANG: Berada dalam kedudukan empat pelumba teratas pada perlumbaan hujung minggu ini sudah cukup bagi penunggang Pasukan Fiat Yamaha, Valentino Rossi untuk merangkul kejuaraan ketujuhnya dalam kejohanan Dunia MotoGP.Rossi, tiba di sini untuk perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Sepang dengan kelebihan 38 mata mengatasi rakan sepasukan Jorge Lorenzo, yang juga pencabar terdekatnya yang mengutip 232 mata. Begitupun, Rossi, yang mengumpul 270 mata dengan enam kemenangan daripada 18 perlumbaan musim ini, tidak mungkin leka dan mengambil mudah kedudukannya pada masa ini."Selepas kesilapan Lorenzo di Phillip Island (Grand Prix Australia), kami mempunyai peluang yang baik. Tetapi kami akan menganggap ini sebagai perlumbaan biasa, terutamanya ketika sesi latihan kerana saya amat menyukai litar ini dan mempunyai keputusan perlumbaan yang baik di sini pada masa lepas."Saya gembira anggota pasukan kami bertugas dengan baik dan jentera saya juga baik sepanjang perlumbaan, dan kini sasaran ialah mempunyai persediaan yang baik menjelang Ahad. Kami meluangkan banayak masa di litar ini pada musim sejuk jadi kami mempunyai banyak data maklumat," kata Rossi, 30, pada sidang akhbar di sini di Litar Sepang, hari ini.Turut hadir pada sidang itu ialah Aleix Espargaro, Casey Stoner, Dani Pedrosa dan Juara Dunia 2009 kategori 125cc, Julian Simon.Rossi mempunyai catatan sejarah cemerlang di Malaysia, dengan memenangi perlumbaan dari petak grid kedua tahun lepas serta memenangi tujuh kemenangan podium, termasuk lima kejuaraan.Bagi pelumba pasukan Ducati Marlboro, Stoner menyifatkan perlumbaan di Malaysia kali ini pastinya suatu yang sukar sebagaimana tahun-tahun sebelum ini."Tidak mudah untuk mencari setup (persediaan) yang sempurna di sini," kata Stoner yang berusia 24 tahun.Sementara itu, Pedrosa yang berlumba bagi pasukan Repsol Honda mempunyai pengalaman indah di Litar Sepang.Beliau menduduki podium bagi tiga musim lepas dan pernah mengecapi kemenangan di keduadua kategori 125cc dan 250cc Kejuaran Dunia tetapi belum lagi mencatat kemenangan di kelas utama di litar ini."Saya masih belum mencatat kejuaraan MotoGP di sini. Saya fikir semua pelumba bersedia untuk perlumbaan hujung mingu ini. Kami akan melakukan yang terbaik semasa latihan dan sebagus mungkin semasa perlumbaan," kata Pedrosa.Pada ketika ini, Pedrosa berada di tempat keempat dengan 189 mata dan hanya enam mata memisahkannya daripada Stoner.Esok, kesemua pelumba akan mengadakan sesi latihan bebas dan perlumbaan akan diadakan pada Ahad. BERNAMA