KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan jaminan bahawa trek olahraga yang terdapat di MSN yang berusia 14 tahun di Bukit Jalil itu masih dalam keadaan baik dan selamat digunakan sebagai tempat latihan atlet olahraga.Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong berkata walaupun trek olahraga yang dibina pada 1995 itu hanya kelihatan uzur namun ia sebenarnya masih kukuh dan dalam keadaan yang baik. "Trek itu bukan hanya masih selamat dan selesa digunakan oleh atlet biasa tapi ianya turut digunakan oleh atlet paralimpik," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.Beliau berkata pihak MSN ada membuat pemantauan mengenai bilangan atlet yang membuat latihan di trek tersebut bagi memastikan bahawa penggunaannya tidak melebihi had."Kita sedang berusaha untuk menggantikan kemudahan yang terdapat di trek tersebut namun ianya mengambil sedikit masa," katanya.Zolkples berkata atlet olahraga kebangsaan yang menyertai temasya Sukan SEA di Laos pada awal Disember ini tidak lagi berlatih di trek olahraga MSN tetapi mereka kini menjalani latihan di Stadium Nasional.Sementara itu, Zolkples mengesahkan bahawa jaguh jalan kaki wanita, Yuan Yu Fang telah menarik diri daripada beraksi di Laos dan telah bertemu beliau bagi memberi penjelasan berhubung perkara tersebut."Adalah satu kerugian besar apabila kita kehilangan satu pingat emas bagi acara olahraga sebelum bermulanya kejohanan," katanya.Sebelum ini, Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) membuat kenyataan bahawa atlet yang berasal dari China itu menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada menyertai temasya Sukan SEA Laos. BERNAMA