suria

Piala Malaysia: Polis tidak berkompromi dengan penyokong bawa barang larangan

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana penyokong yang membawa masuk barang berbahaya ketika menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di antara Negeri Sembilan dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Kuala Lumpur ACP Abdul Hamid Mohd Ali berkata barang berbahaya itu termasuklah senjata, bahan letupan, topi keledar, batang kayu, payung, botol dan tin minuman yang disenaraikan sebagai barang larangan.

"Kita akan membuat pemeriksaan rapi pada badan dan beg setiap individu di pintu masuk ke stadium. Jika didapati mereka memiliki barang larangan itu, polis tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya seramai 1,400 anggota polis termasuk anggota trafik, Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan bahagian jenayah akan ditempatkan di sepanjang jalan dan kawasan luar serta dalam stadium.

Bagi meningkatkan kelancaran pergerakan trafik, Abdul Hamid berkata penyokong Kelantan dikehendaki memasuki stadium melalui pintu hijau manakala penyokong Negeri Sembilan akan memasuki melalui pintu biru yang terletak bersebelah dengan Majlis Sukan Negara. Abdul Hamid berkata semua bas yang membawa penyokong Kelantan dikehendaki melalui Lebuh Raya Kesas, masuk ke susur Awan Kecil menuju ke Jalan Games Village, belok kiri ke Jalan Cagar Merah dan seterusnya masuk ke Parking 'F'.

Bas yang membawa penyokong Negeri Sembilan pula dikehendaki melalui Lebuh Raya Seremban-KL, Lebuh Raya Kesas, masuk susur Jalan Merah Cagar ke Jalan Merah Cagar dan masuk ke kawasan parkir Family Park.

Semua kenderaan lain termasuk kereta penyokong kedua-dua pasukan boleh melalui Lebuh Raya Kesas susur Awan Kecil ke Jalan Games Villages seterusnya ke Jalan West untuk ke parkir A dan B.

"Mereka juga boleh melalui Lebuh Raya Seremban KL ke Bulatan Lumba Kuda menghala Puchong Links/Pusingan U susur Technology Park ke Jalan Puchong Links untuk parkir D dan E," katanya.

Abdul Hamid berkata polis akan menutup beberapa jalan mengikut keadaan semasa lalu lintas termasuk Jalan Putra/Jalan West yang akan ditutup bermula 4 petang. "Lebuh Raya Kesas/susur Jalan Merah Cagar dari arah Carrefour dan dari arah MRR2 (Jalan Lingkaran Tengah II) akan ditutup mengikut keadaan jalan," katanya.

Katanya, Jalan Puchong Links/Susur Jalan West iaitu susur dari arah Kinrara dan Jalan Puchong Links/Susur Jalan West dari arah Bulatan Lumba Kuda turut akan ditutup.

Sehubungan itu, Abdul Hamid menasihatkan para penyokong supaya keluar lebih awal ke stadium, mengamalkan perkongsian kereta dan seelok-eloknya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Bagi pengguna jalan raya yang tidak bercadang untuk menyaksikan perlawanan itu, sebaik-baiknya merancang perjalanan dan mencari jalan alternatif bagi mengelak melalui jalan yang ditutup, katanya.

Kaunter tiket dibuka mulai esok dari pukul 11 pagi hingga 7 petang di pintu kuning. Pintu masuk stadium pula akan dibuka pada 5.30 petang pada hari perlawanan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain