VIENTIANE: Skuad akuatik negara, renang dan akuatik menjadi skuad paling berjaya di temasya Sukan SEA Laos setakat ini selepas menyumbang 15 pingat emas.Selepas menutup tirai pertandingan semalam, skuad renang membawa pulang sembilan pingat emas, lima perak dan enam gangsa manakala skuad terjun menyumbang enam pingat emas, satu perak dan dua gangsa. Dalam aksi di Kolam Renang Kompleks Sukan Nasional, para perenang negara mempamerkan aksi cemerlang dengan perenang lelaki Daniel Bego melebur tiga rekod kejohanan dan rekod kebangsaan melalui acara 100m, 200m dan 400m gaya bebas serta 100m kuak kupu-kupu.Tidak kurang juga dengan penampilan perenang wanita, Siow Yi Ting pada usia 24 tahun, secara individu berjaya mencipta tiga rekod baru kejohanan dan rekod kebangsaan dalam acara 200m rampaian individu serta 100m dan 200m kuak dada wanita.Khoo Cai Lin turut meleburkan rekod kejohanan dalam acara 400m gaya bebas dengan kepantasan yang tidak dijangka."Ini adalah pencapaian terbaik kita. Atlet-atlet berjaya mengatasi pencapaian di Korat, Thailand. Bagi pihak persatuan, kita amat berpuas hati dengan pencapaian mereka."Prestasi perenang kita semakin meningkat walaupun menghadapi saingan sengit daripada perenang dari Singapura dan Thailand."Untuk acara terjun, atlet kita lebih maju berbanding negara-negara lain di Sukan SEA," kata Setiausaha Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong kepada Bernama.Pencapaian terbaik Malaysia dalam temasya Sukan SEA ialah pada temasya di Kuala Lumpur pada 2001 dengan 19 pingat emas, lapan perak dan 11 gangsa. Ketika itu acara renang berirama turut dipertandingkan.Ketika temasya dwitahunan itu berlangsung di Kuala Lumpur pada 1989, di mana hanya acara renang sahaja dipertandingkan, Malaysia berjaya meraih 11 pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa. - BERNAMA