suria

Wushu Tambah Dua Emas, Satu Perak Untuk Negara

VIENTIANE: Atlet-atlet Wushu menyumbang dua pingat emas untuk kontinjen negara hari ini pada Sukan SEA ke-25 menerusi acara Taolu lelaki dan wanita yang berlangsung di Pusat Dagangan Pameran dan Konvensyen Antarabangsa (ITECC) Laos di sini. Emas pertama dimenangi oleh Loh Jack Chang selepas mengumpul 19.39 mata daripada dua disiplin Taolu iaitu Taijiquan dan Taijijian.

Pingat perak acara itu dimenangi oleh atlet Vietnam Nguyen Thanh Tung (19.29 mata) manakala gangsa milik atlet Filipina, Parantac Daniel (19.22 mata).

Emas kedua negara daripada acara itu menjadi milik Chai Fong Ying yang berjaya mengumpul 19.32 mata menewaskan pesaing terdekatnya dari Indonesia Lingswell yang meraih 19.30 mata untuk perak, manakala gangsa milik Wilai Ratawongsaro dari Thailand yang mengumpul 19.21 mata.

Loh berkata, ia pingat emas pertamanya sepanjang menyertai tiga temasya dwitahunan itu selepas memberi tumpuan sepenuhnya untuk memperbaiki setiap gerak langkah disiplin sukan itu.

"Saya harap kemenangan ini menjadi platform terbaik untuk memantapkan lagi persiapan menjelang Sukan Asia di Guangzhou, China tahun depan," katanya.

Sementara itu, Chai berkata beliau rahsia kejayaannya hari ini selepas mengikut kata nasihat jurulatihnya dari China yang mahukan beliau menggambarkan secara visual setiap pergerakan sebelum pertandingan bermula.

"Saya cukup gembira kerana petua itu memberikan hasil seperti mana yang diharapkan oleh saya," katanya. Bagaimanapun, kejayaan Loh dan Chai gagal dituruti atlet wushu negara yang bertanding dalam acara Taolu disiplin Chanquan dan Gunshu yang turut berlangsung hari ini.

Ang Eng Chong terpaksa akur dengan pingat perak selepas mengumpul 19.37 mata manakala gangsa milik Ng Say Yoke selepas mengumpul 19.33 mata.

Pingat emas acara itu dimenangi oleh atlet Indonesia Aldy Lukman yang mengumpul 19.39 mata. Semalam, Diana Bong menyumbang emas dalam sukan Wushu menerusi acara Nanquan dan Nandao wanita.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Wushu negara, Wong Kim Swee berkata, prestasi yang dipamerkan oleh skuad wushu negara dengan memenangi tiga pingat emas, masing-masing satu perak dan gangsa sebenarnya di luar daripada jangkaan awal.

"Kami hanya mensasarkan dua pingat emas tetapi kita berjaya mengatasi sasaran itu dan ini sangat baik untuk kita," katanya.

Pencapaian terbaik skuad wushu negara di peringkat sukan dwitahunan ini adalah pada Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2001 dengan memenangi lima pingat emas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain