suria

Shakirin Akad Nikah Jumaat Ini, Tidak Pertahankan Gelaran Perseorangan

JOHOR BAHARU: Muhammad Shakirin Ibrahim, juara dua kali perseorangan lelaki ping pong kebangsaan tidak akan mempertahankan kejuaraannya pada Kejohanan Ping Pong Kebangsaan ke-46 yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu di sini.

Muhammad Shakirin, 24, mengambil keputusan bergegas pulang ke Kuala Lumpur untuk majlis akad nikahnya yang akan berlangsung Jumaat ini tanpa mempertahankan gelaran perseorangan yang dimenanginya pada 2006 dan tahun lepas.

Katanya, majlis akad nikah itu dijadualkan Jumaat ini di Klang.

"Majlis akad nikah sudah ditetapkan awal lagi, jika saya bertanding dalam acara perseorangan dan berjaya melangkah ke perlawanan akhir yang dijangka berlangsung petang Khamis, saya bimbang saya tidak sempat pulang ke Kuala Lumpur," katanya di sini semalam.

Terdahulu, beliau dan rakan sepasukannya yang mewakili Kuala Lumpur gagal mempertahankan kejuaraan beregu lelaki yang dimenangi mereka di Kuala Terengganu tahun lepas, namun berjaya bangkit untuk memenangi acara beregu campuran bersama gandingannya Beh Lee Wei yang juga pemain kebangsaan.

Muhammad Shakirin dan Beh yang menyumbang pingat gangsa pada Sukan Sea Laos awal bulan ini menewaskan pasangan dari Sabah Chiu Soo Jin dan Ang Ting Yuen dengan keputusan 3-0, sekaligus mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka tahun lepas.

Acara berpasukan lelaki yang berlangsung hari ini dimenangi oleh pasukan Putrajaya yang menewaskan Sarawak 3-2 manakala Kuala Lumpur berjaya mempertahankan gelaran juara kategori berpasukan wanita dengan menewaskan Melaka 3-1. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Zimbabwe Tumpaskan Selangor 3 - 0

Artikel Berikut

Artikel Lain