KUALA LUMPUR: Walaupun tanpa penyerang utama, Mohd Azlan Ismail, namun Kedah yakin mampu menewaskan Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini, kata Setiausaha Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dr Hamdan Mohamed Khalib.Mohd Azlan tidak dapat diturunkan kerana digantung empat perlawanan atas kesalahan mengasari pengadil semasa perlawanan separuh akhir kedua, Kedah menentang Angkatan Tentera Malaysia pada 9 Mac lepas. "Walaupun tanpa Mohd Azlan, Kedah akan turun dengan membawa semangat yang tinggi serta mempamerkan disiplin yang terbaik pada perlawanan akhir Piala FA nanti."Kebanyakan pemain Kedah adalah anak jati negeri, jadi mestilah semangat mereka akan bertambah tinggi," katanya di sidang akhbar di sini hari ini mengenai perlawanan akhir Piala FA, yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.Menurutnya, ketua jurulatih Kedah, Ahmad Yusof dan pembantu-pembantunya kini sedang berusaha menyediakan pasukan yang terbaik bagi menghadapi Negeri Sembilan."Prestasi Kedah dan Negeri Sembilan adalah sama mantap dalam saingan Liga Super pada Mac lepas, namun mereka (Negeri Sembilan) lebih bernasib baik. Mereka mempunyai pemain-pemain yang berkaliber terutamanya di bahagian pertahanan," kata Dr Hamdan.Skuad Kenari pernah menjulang Piala FA sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1996, 2007 dan 2008.Bagi ketua jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, pasukannya selaku juara Piala FA 2003, akan tetap memberi saingan sengit kepada Kedah dan akan menyediakan jentera yang terbaik bagi menghadapi perlawanan akhir nanti."Semua pemain kami bebas daripada sebarang kecederaan kecuali penjaga gawang, Mohd Farizal Harun yang tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan dan akan digantikan dengan Sani Anuar Kamsani," katanya.Mengenai lawan mereka, beliau turut mengakui prestasi Kedah semakin meningkat terutama dalam perlawanan di peringkat-peringkat akhir Piala FA."Walaupun pada peringkat awal Piala FA pasukan Kedah tidak begitu menyerlah, namun di akhir-akhir saingan Piala FA musim ini, mereka membuktikan mereka adalah pasukan yang kuat termasuklah mengalahkan pasukan Terengganu," katanya.Wan Jamak berkata, Kedah bukanlah satu pasukan yang lemah tetapi adalah satu pasukan yang kuat tambahan pula pemain-pemainnya telah bermain bersama selama empat atau lima tahun sebelum ini. - BERNAMA