SEREMBAN: Tiket bagi perlawanan akhir bola sepak Piala FA 2010 antara Negeri Sembilan dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini akan dijual di Wisma PBNS dan Stadium Tuanku Abdul Rahman di sini mulai hari ini hingga Jumaat ini.Bendahari Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Bahari Abd Rahman berkata, tiket akan dijual di kedua-dua tempat berkenaan mulai 10 pagi hingga 5 petang manakala hari Jumaat mulai pukul 8 hingga 10 pagi. "Selepas itu tiket-tiket boleh dibeli di Stadium Nasional Bukit Jalil. Para penyokong bola sepak Negeri Sembilan dinasihatkan untuk mendapatkan tiket dengan seberapa segera bagi mengelak kehabisan," katanya di sini hari ini.Katanya, harga tiket bagi dewasa ialah RM20 dan kanak-kanak RM5.Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, 70,000 peminat bola sepak dijangka menyaksikan perlawanan tersebut di mana 25,000 tiket akan dijual di Kedah, 30,000 di Negeri Sembilan dan baki 15,000 akan dijual di Stadium Nasional pada hari perlawanan, bermula 9 pagi. - BERNAMA