IPOH: Kehangatan deman Piala Dunia FIFA 2010 - Afrika Selatan tetap dirasai di Melaka apabila skrin besar dipasang di semua venue pertandingan sempena Sukan Malaysia ke-13 (SUKMA) dari 10 hingga 19 Jun ini.Pengelola SUKMA Melaka 2010 akan menyediakan kemudahan itu bagi membolehkan semua peminat yang berkunjung ke temasya sukan itu tidak terlepas peluang menyaksikan aksi menarik dalam saingan Piala Dunia 2010. Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pihak urusetia SUKMA mahu semua peminat bola sepak turut hadir bagi menyaksikan semua 33 acara sukan yang bakal dipertandingkan pada temasya dwi-tahunan itu."Kita menyedari ketika itu sedang berlangsung Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan...jadi kita akan pasang skrin besar bagi membolehkan peminat sukan bola sepak datang ke venue pertandingan SUKMA," katanya pada sidang akhbar di Rumah Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini semalam.Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia FIFA 2010 akan bermula dari 11 Jun hingga 11 Julai ini manakala SUKMA Melaka akan bermula sehari sebelum itu.Mohd Ali, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pengelola SUKMA ke-13, berkata sebanyak 15 pasukan negeri termasuk pasukan jemputan Brunei telah mengesahkan penyertaan pada temasya 10 hari itu.Menurutnya seramai 7,000 atlet, 2,000 pegawai teknikal dan 3,726 sukarelawan akan terbabit dalam sukan itu."Kita menjangkakan seramai 500,000 peminat sukan akan menonton semua pertandingan ini kelak," katanya.Mohd Ali berkata pihak urusetia juga membenarkan semua pasukan dan atlet bebas menjalani latihan di mana-mana venue pertandingan sebelum bermulanya pertandingan."Kita tidak ada masalah sekiranya mana-mana pasukan yang ingin membuat latihan di Melaka...bagi pertandingan bola sepak kita sediakan 10 padang bola..semuanya bersaiz Olimpik," katanya.Beliau juga berkata kontinjen Melaka telah mensasarkan 60 pingat emas bagi edisi kali ini. - BERNAMA