KUALA LUMPUR: Perlumbaan berbasikal tertua di Malaysia, Jelajah Malaysia (JM) 2010, yang berstatus 2.2 di dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan berlangsung dari 27 April hingga 1 Mei ini.Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan dan Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Maniam Manickam berkata, lima peringkat perlumbaan akan dipertandingkan dengan 20 pasukan mengesahkan penyertaan. Katanya perlumbaan akan bermula di Kuala Selangor, Selangor menyusuri negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang dan berakhir di Kuala Perlis, Perlis yang membabitkan jarak keseluruhan 822.1 kilometer."Lima peringkat akan dipertandingkan pada tahun ini manakala satu peringkat tambahan iaitu kriterium di sekitar Pulau Langkawi akan berlangsung pada 2 April," katanya kepada Bernama, hari ini.Maniam berkata, acara kriterium di pulau terbabit bagaimanapun tidak akan menawarkan sebarang mata kepada pasukan yang bertanding dan hanya hadiah wang tunai seperti peringkat-peringkat perlumbaan yang lain."Jadi peringkat kelima adalah kemuncak perlumbaan JM 2010 bagi menentukan juara keseluruhan dan pemenang-pemenang jersi-jersi yang dipertandingkan," katanya.Mengenai status penyertaan 20 pasukan yang akan bersaing kelak, Maniam berkata 10 pasukan merupakan pasukan tempatan manakala selebihnya adalah dari luar negara.Maniam, yang juga merupakan Naib Presiden PKBM, berkata langkah menambah pasukan tempatan itu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelumba-pelumba tempatan."Jika sebelum ini kita hanya berpeluang menghantar enam hingga tujuh pelumba sahaja, perkara sebaliknya berlaku tahun ini kerana sekurang-kurangnya 60 pelumba tempatan akan berpeluang menimba pengalaman bersaing dengan pelumba-pelumba luar."Jadi konsep JM 2010 adalah lebih kepada program pembangunan yang mungkin akan dapat melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba berbakat seperti Anuar Manan," katanya.