KUALA LUMPUR: Namanya mungkin masih hijau dalam acara memanah tetapi Mohd Juwaidi Marzuki berazam mencetuskan impak besar pada temasya Sukan Malaysia XIII (Sukma) 2010 di Melaka untuk membuka mata pengurusan memanah negara.Atlet berusia 20 tahun itu menyifatkan pertandingan di negeri sendiri sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada dirinya untuk mencapai sasaran dua atau tiga pingat emas. Menjadikan penglibatan itu sebagai suka-suka dan mewakili Melaka di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), Juwaidi menyedari dia berbakat dalam sukan yang baru diceburinya selepas memenangi enam pingat.Sejak dari itu, dia enggan menoleh ke belakang lagi dan prestasinya mula meningkat dari semasa ke semasa apabila memenangi pingat perak dalam kejohanan Memanah Terbuka Melaka dan Terbuka Angkatan Tentera pada Oktober tahun lalu."Saya mahu membantu pasukan untuk mengutip sebanyak pingat yang mungkin. Aksi terbaik di temasya ini diharap akan membuka peluang kepada saya untuk diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan suatu hari ini," katanya.Menurutnya, dia giat menjalani latihan dan fokusnya kini bertumpu untuk meningkatkan tahap fizikalnya menjelang pembukaan temasya yang akan berlangsung pada 10 hingga 19 Jun ini.Walaupun memanah dianggap tidak memerlukan pergerakan fizikal, Juwaidi berkata, tahap pertandingan yang semakin kompetitif boleh menjejaskan kecergasan dan akan memberi kesan terhadap konsentrasi ketika pertandingan.Kini, dia akur pembabitan secara tidak sengaja dan sekadar suka-suka suatu ketika dulu sekaligus membuka peluang kepadanya untuk melangkah lebih jauh."Saya tidak mahu hanya mewakili Melaka semata-mata malah menyimpan impian untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa suatu hari nanti," katanya.