KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) akan meminta Majlis Sukan Negara (MSN) memberi lebih ruang kepada atlet pelapis untuk berlatih di luar negara, kata Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim.Shahidan berkata KOAM telahpun menyenaraikan seramai tujuh atlet pelapis yang menyerlah pada Sukan SEA di Laos pada Disember lepas serta beberapa kejohanan sejak awal tahun ini, untuk menjalani latihan di Eropah. "Selama ini, atlet elit olahraga berpeluang untuk berlatih di luar negara dan KOAM kini bercadang memberi ruang kepada atlet pelapis pula untuk turut serta menjalani latihan di luar negara, bagi memberi pendedahan di peringkat antarabangsa kepada mereka," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.Beliau berkata tujuh atlet pelapis yang dicadangkan meneruskan latihan di luar negara ialah Adi Alifuddin Hussain (lontar peluru), Mohd Jironi Riduan (800m), S. Mathialagan (800m), S.Yuvaraj (800m), Norjanah Hafizah Jamaludin (200m), Nurul Sarah Abdul Kadir (200m) dan Siti Zubaidah Abadi (100m).Shahidan berkata penempatan atlet pelapis tersebut di luar negara bukan sekadar berlatih tetapi juga menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata atlet jaguh 400m berpagar negara, Noraseela Khalid yang tercedera sejak dua minggu lepas ketika berlatih di Afrika Selatan, mungkin tidak perlu kembali ke negara ini bagi menjalani rawatan lanjut.Beliau berkata berdasarkan laporan awal daripada jurulatih Noraseela, atlet tersebut hanya perlu menjalani rawatan lanjut di negara tersebut."Bagaimanapun, laporan kecederaan Noraseela yang dihantar oleh jurulatihnya, telah dihantar kepada MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk tindakan lanjut," katanya.Shahidan juga berkata Kejohanan Olahraga Remaja SEA yang kelima, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 hingga 27 Mei depan, terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum diputuskan.Beliau berkata kekurangan peruntukan sebanyak RM400,000 bagi penganjuran kejohanan tersebut menyebabkan KOAM terpaksa menangguhkannya."Sebelum ini, KOAM meminta wang tersebut daripada MSN tetapi agensi itu tidak mempunyai peruntukan. KOAM akan mencari sumber lain," katanya. - BERNAMA