Messi diasak Chivu, Lucio (kiri) dan Walter Samuel (kanan). - Foto AP NASIB tidak menyebelahi Barcelona musim ini apabila jaringan lewat pemain pertahanan Barcelona Gerard Pique sudah terlambat untuk menyekat kemaraan Inter Milan ke pusingan akhir Liga Juara-juara Eropah buat pertama kalinya sejak 1972.Pasukan kendalian Jose Mourinho yang melangkah ke Nou Camp berbekalkan kemenangan selesa 3-1 pada pusingan separuh akhir pertama, beraksi dengan hanya 10 pemain selepas Thiago Motta dilayangkan kad merah pada minit ke-28. Inter membuat pertukaran pada saat akhir apabila menggantikan penyerang Goran Pandev yang disenaraikan dalam kesebelasan utama dengan pemain pertahanan Cristian Chivu.Seperti yang dijangka ramai, Barca menguasai perlawanan di gelanggang sendiri sejak dari awal namun Inter kelihatan lebih teratur dan tenang.Penyerang sensasi Lionel Messi berjaya melepasi kawalan kubu pertahanan Inter namun rembatan rendahnya berjaya ditepis penjaga gol, Julio Cesar pada minit ke-33.Namun, bekas penyerang Inter, Ibrahimovic yang berhijrah ke kelab Catalan itu pada musim panas lalu kurang menyerlah dan digantikan dengan Bojan Krkic di saat pengurus Pep Guardiola berusaha untuk memperkukuh barisan serangan Barca.Messi melakukan beberapa percubaan merbahaya tetapi pemain kelahiran Argentina itu gagal menjaringkan sebarang gol dalam enam perlawanan menentang Inter.Percubaan Bojan selepas memanfaatkan hantaran Messi pada minit ke-82 turut tersasar. Gol Barca hadir menerusi hantaran Xavi yang disempurnakan Pique ketika perlawanan berbaki enam minit.Sebaik wisel penamat dibunyikan, Mourinho meraikan kemenangan anak buahnya dengan penuh emosi."Kami adalah pasukan juara. Kami berjuang sehingga titisan darah terakhir. Saya berterima kasih kepada semua pemain dan penyokong. Keajaiban telah berlaku dan saya mahu penyokong menunggu ketibaan kami di lapangan terbang Itali kelak," katanya.Walaupun berjaya menewaskan juara kejuaraan Eropah musim lalu itu, Mourinho mahu penyokong Inter bertandang ke Rome untuk menyaksikan pertemuan akhir Serie A musim ini menentang Lazio sebelum bertemu Roma pada aksi Coppa Italia.Mourinho menyifatkan perlawanan awal pagi tadi sebagai sukar."Aksi 10 menentang 11 pemain adalah sejarah. Kekalahan Barca adalah perkara terbaik dalam hidup saya namun perlawanan itu sepatutnya berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. Julio Cesar mempamerkan aksi luar biasa. Perlawanan antara kedua-dua pasukan agak seimbang," katanya.Inter akan bertemu kelab gergasi Jerman, Bayern Munich pada pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 Mei di Bernabéu, Madrid.Begitupun, Inter tidak boleh memandang remeh keupayaan Bayern yang berjaya menewaskan Olympique Lyon 3-0 di Stade Gerland, Lyon, semalam.Kedua-dua pasukan mempunyai keistimewaan tersendiri. Namun kemenangan akan berpihak kepada pasukan yang bijak mencongak strategi dan mengurangkan kesilapan pada aksi akhir kelak.Bayern dilihat mempunyai kelebihan untuk bergelar juara berbekalkan pengalaman luas pada aksi final kejuaraan Eropah kerana pernah merangkul trofi itu pada 1974, 1975, 1976 dan 2001.Inter pernah merangkul kejuaraan berprestij dunia itu sebanyak dua kali iaitu pada 1963/64 dan 1964/65.