suria

Rashid Sidek, Anak Disahkan Positif H1N1

KUALA LUMPUR: Jurulatih badminton perseorangan lelaki negara Abdul Rashid Mohamed Sidek disahkan positif Influenza A (H1N1).

Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata perkara itu disahkan oleh hospital swasta yang kini merawat Rashid dan seorang anak perempuannya yang juga disahkan positif jangkitan tersebut.

"Kami telah dimaklumkan oleh pihak hospital yang mengesahkan perkara itu dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak ISN bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung wabak tersebut daripada tersebar," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini malam ini.

Rashid dan anak perempuannya yang berusia lima tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan petang tadi setelah menunjukkan simptom-simptom dijangkiti H1N1.

Rashid merupakan salah seorang jurulatih skuad kebangsaan yang terlibat di dalam Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber yang akan berlangsung mulai 9 hingga 16 Mei ini di Stadium Putra Bukit Jalil.

Sementara itu Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berkata, satu pemeriksaan kesihatan akan dilakukan ke atas semua pemain skuad kebangsaan pada Isnin ini untuk memastikan mereka tidak dijangkiti virus tersebut.

Katanya ISN dan KKM juga akan membuat pemantauan teliti bagi membendung penularan wabak tersebut pada kalangan pemain skuad kebangsaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong yang dihubungi Bernama pula berharap kejadian tersebut tidak akan akan memberi kesan negatif kepada moral skuad negara.

"Saya harap pemain badminton negara terus cekal untuk hadapi kejohanan tersebut dan bebas dari wabak H1N1," katanya.

Zolkples berkata kemungkinan besar wabak H1N1 tidak akan berjangkit dengan pemain negara kerana Rashid dipercayai mendapat jangkitan itu di rumah.

Namun katanya pemantauan teliti perlu dibuat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain