SETIU: Sebuah hospital yang menyediakan rawatan ringan untuk kuda mula beroperasi hari ini di taman perlumbaan kuda lasak, Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), di sini.Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, Hospital Ekuin RTES/UPM yang pertama seumpamanya di Pantai Timur itu mampu merawat 300 ekor kuda pada satu masa. Sebagai permulaan, katanya, hospital itu hanya merawat kuda milik ahli Royal Terengganu Equestrian Stable (RTES)."Antara kelengkapan yang disediakan di situ termasuk kemudahan sinar-X, ultrasound dan pengambilan sample darah. Buat permulaan, hospital itu akan beroperasi setiap hari Jumaat dan Sabtu bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.Beliau berkata, waktu operasi hospital itu akan ditambah apabila terdapat permintaan daripada orang ramai dan satu mekanisma akan dibuat untuk menentukan bayaran terhadap pemilik kuda persendirian yang ingin mendapat khidmat di hospital itu.Abdul Rahin berkata, bagi kes kecederaan berat yang memerlukan pembedahan, sebuah lagi hospital akan dibuka di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.