suria

The Change: Hanya Yang Terbaik Dipilih

Jurulatih negara, K.Rajagobal (tiga, kiri) bersama lima peserta yang telah disenarai pendek bagi program The Change. - Foto The Star/Chan Tak Kong
Jurulatih negara, K.Rajagobal (tiga, kiri) bersama lima peserta yang telah disenarai pendek bagi program The Change. - Foto The Star/Chan Tak Kong
Jurulatih negara, K.Rajagobal (tiga, kiri) bersama lima peserta yang telah disenarai pendek bagi program The Change. - Foto The Star/Chan Tak Kong

KUALA LUMPUR: Program pemilihan pemain bola sepak seluruh dunia, The Change kini berada di Malaysia bagi mencari seorang pemain terbaik mewakili negara ke Akademi Nike yang dikendalikan oleh jurulatih Arsenal, Arsene Wenger di England.

Program yang disokong penuh oleh Liga Perdana Inggeris ini bakal menyaksikan hanya 100 pemain daripada 40 buah negara dipilih, dan pastinya seorang wakil Malaysia akan turut berada di England bermula 1 Januari 2011.

Pengurus Pemasaran Nike Malaysia, Menaha Nadaraja (gambar) berkata, program ini merupakan satu landasan terbaik bagi golongan muda negara untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

“Ia satu peluang keemasan yang diadakan di Malaysia dan ia perlu direbut oleh peminat-peminat muda bola sepak tanah air untuk menunjukkan bakat yang ada.

“Kami akan mengadakan ujian pemilihan di beberapa tempat termasuk di Padang MPK, Kuantan 22 September, Kompleks Sony, Seberai Prai, Pulau Pinang (25 September) dan di Padang Mawar, Pasir Gudang, Johor pada 29 September.

“Manakala hari ini seramai 200 peserta telah menjalani pemilihan awal di di Padang Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya kepada mStar Online, Sabtu.

Menaha berkata, pihaknya menyasarkan seramai 500 orang keseluruhan akan mengikuti pemilihan ini dan hanya 30 orang sahaja dipilih untuk memasuki fasa akhir latihan sebelum seorang terpilih ke London.

“Kami mempunyai jurulatih-jurulatih yang berpengalaman yang akan mengendalikan program ini, malah ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal juga turut memainkan peranan penting program ini.

“Selain itu kami juga akan turut bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memantau tahap kecergasan dan kesihatan pemain-pemain yang terpilih untuk memastikan segala aspek yang diperlukan lengkap sebelum wakil tunggal dipilih.

“Paling penting sebelum ke London, kami akan pastikan peserta sudah bersedia bukan sahaja dari segi fizikal malah mentalnya sekali.

“Selain itu, kepada peserta-peserta yang tidak terpilih, mereka tidak perlu risau kerana kami akan bekerjasama dengan semua persatuan atau kelab bola sepak negeri membuka peluang untuk mengambil pemain-pemain ini menyertai mereka.

“Saya percaya, mereka adalah yang terbaik kerana dipilih oleh jurulatih negara yang berpengalaman,” katanya.

Peluang ini terbuka kepada peserta-peserta yang berumur 17 hingga 25 tahun dan perlu mendaftar terlebih dahulu sebelum menyertai pemilihan di setiap zon.

Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh dibuat di www.nikefootball.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain