SEPANG: Hasrat pelumba pasukan AirASia Litar Antarbangsa Sepang (SIC), Mohd Zulfahmi Khairuddin (gambar) untuk mengutip satu mata di tempat sendiri tidak kesampaian apabila beliau sekadar menamatkan saingan kategori 125cc pada Grand Prix MotoGP Malaysia di kedudukan ke-16.Pada sesi kelayakan semalam, beliau terjatuh dengan sekadar berjaya membuat dua pusingan dan mencatatkan masa 2 minit 17.896 saat untuk berada di kedudukan ke-22 daripada 26 pelumba dalam kategori 125cc sebelum terjatuh di selekoh keempat. "Saya terlalu mendesak diri saya pada ketika itu dan tidak sangka terjatuh ketika pusingan kedua kerana merasakan tayar belakang membuang pada ketika itu."Saya tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana motor berlaku kerosakan dan ia merupakan rekod paling teruk setakat ini di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari Sabtu.Beliau berkata meskipun terjatuh dan tidak dapat membuat pusingan yang lebih banyak pada sesi kelayakan hari ini, namun pasukannya tetap gembira dengan catatan masa yang dibuat dalam dua pusingan itu."Saya berharap cuaca adalah baik pada perlumbaan esok dan saya akan cuba membuat yang terbaik dan sekurang-kurangnya mampu meraih 1 mata di sini," katanya.Bagaimanapun, Zulfahmi mengaku ia bukanlah sesuatu yang mudah namun masih berharap akan mampu memberikan persembahan yang terbaik dan tidak menghampakan penyokong.