suria

520 Penembak Ambil Bahagian Dalam Pertandingan IPSC

KUALA LUMPUR: Seramai 520 peserta dari 26 negara menyertai Pertandingan Menembak Persekutuan Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC) 2010 yang akan berlangsung di Lapang Sasar Persatuan Menembak Clay Target Johor (PMCTJ), Kota Tinggi, Johor pada Selasa.

Pengerusi penganjur Tunku Abdul Jalil Tunku Osman berkata selain tuan rumah Malaysia, negara lain yang menyertai kejohanan itu ialah Australia, Republik Chech, Jerman, Perancis, Jepun, Rusia, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Serbia dan Ecuador.

"Dengan penyertaan dari pasukan luar negara, ia diharapkan dapat memberi peluang kepada penembak negara yang seramai 30 orang untuk bersaing dengan peserta antarabangsa dan seterusnya mengukur tahap prestasi mereka," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Tunku Abdul Jalil berkata sebanyak lima kategori dipertandingkan pada kejohanan yang berakhir Sabtu ini, iaitu kategori Production, Standard, Open, Revolver dan Modified.

Sementara itu setiausaha kejohanan, Faisal Hussein berkata setiap pasukan penembak harus menghabiskan cabaran kesemua 24 pusingan dalam pertandingan tersebut dengan masa yang terpantas.

"Peserta harus pantas menghabiskan enam pusingan setiap hari selama empat hari pertandingan, bagi membolehkan pihak jawatankuasa pertandingan memilih johan penembak bagi setiap kategori dipertandingkan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pertandingan itu dianjurkan secara bersama Persatuan Menembak Praktikal Malaysia (PSAM), Dynamic Shooting Association Singapore (DSAS) dan PMCTJ serta mendapat sokongan dari Jabatan Pelancongan Negeri Johor.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain