suria

Arsenal Kekal Pendahulu Kumpulan H

Wilshere (kiri) meraikan jaringannya dengan Chamakh.
Wilshere (kiri) meraikan jaringannya dengan Chamakh.
Wilshere (kiri) meraikan jaringannya dengan Chamakh.

ARSENAL mengekalkan rekod cemerlang pada aksi Liga Juara-Juara Eropah peringkat Kumpulan H selepas menewaskan Shakhtar Donetsk 5-1 di Stadium Emirates, Rabu.

Alex Song membuka gol sulung seawal minit ke-19 sebelum Samir Nasri menggandakan jaringan sebelum tamat babak pertama.

Kehadiran semula kapten Cesc Fabregas ternyata membawa khabar gembira buat Arsenal selepas pemain tengah itu meledak gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-60.

Jack Wilshere dan Marouane Chamakh masing-masing menghadiahkan satu gol dalam tempoh tiga minit untuk meletakkan The Gunners terus di depan.

Bekas pemain Arsenal, Eduardo kembali beraksi di Emirates pada babak kedua sebagai pemain gantian dan berjaya menjaringkan gol tunggal Shakhtar pada minit ke-82.

Arsenal meneruskan kemaraan selaku pendahulu Kumpulan H dengan sembilan mata manakala Shakhtar di tempat kedua berbekalkan enam mata.

Fabregas kembali mengisi tempat dalam kesebelasan utama pasukan selepas diketepikan selama empat minggu.

Sementara itu, Theo Walcott dan Nicklas Bendtner turut dilaporkan kembali pulih tetapi hanya diletakkan di bangku simpanan bersama Andrei Arshavin.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain