KUALA LUMPUR: Walaupun gagal memperoleh pingat pada Sukan Komanwel di New Delhi baru-baru ini, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, bertekad untuk melakukan persembahan terbaik di Sukan Asia Guangzhou bulan hadapan. Atlet kelahiran Dengkil itu berkata beliau akan lebih berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan pada Sukan Komanwel."Kesilapan saya di New Delhi adalah kerana terlalu ghairah mengejar pingat sehingga cedera di bahagian pergelangan kaki. Namun ianya tidak begitu serius," katanya. Ketika beraksi di New Delhi, persembahan Lee agak mengecewakan apabila sekadar melepasi 2.23 meter, jauh lebih rendah daripada keupayaannya pada 2.27m yang juga rekod kebangsaan."Saya mendapat sedikit keyakinan untuk membawa pulang pingat dari China nanti berdasarkan rekod lompatan terbaik yang pernah saya lakukan sebelum ini," katanya. Pada Sukan Asia Doha 2006, Lee menduduki tempat kelapan. - BERNAMA