suria

Chong Wei Dijangka Pulih Sebelum Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Kecederaan buku lali yang dialami Datuk Lee Chong Wei sebaik pulang dari Sukan Komanwel di New Delhi, India minggu lepas dijangka pulih sepenuhnya menjelang Sukan Asia di Guangzhou, China dari 12 hingga 27 November ini.

Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata pemain nombor satu dunia itu telah pun menjalani pemeriksaan di ISN dan kini dalam proses perubatan.

"Kecederaannya tidak parah malah beliau telah mendapat rawatan awal semasa di India. Bagaimanapun, kita akan terus memantau tahap prestasi beliau dari minggu ke minggu," katanya kepada pemberita selepas menyampai ucaptama di simposium mengenai aspek kesihatan dalam industri sukan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, di sini Rabu.

Jaguh perseorangan negara ini menyumbang dua emas di New Delhi dalam acara perseorangan dan berpasukan.

Dr Ramlan berkata meskipun mengalami kecederaan, Chong Wei bersikap positif dan berkeyakinan tinggi untuk beraksi cemerlang di Sukan Asia kelak, di mana beliau diramalkan akan bertemu seteru utamanya Lin Dan dari China.

"Saya optimis beliau boleh beraksi di Guangzhou, tetapi harapan untuk beliau nanti mestilah bersesuaian dengan kondisi dan tahap prestasinya yang sebenar," katanya.

Dalam ucapannya Dr Ramlan berkata bidang perubatan dan kesihatan dalam industri sukan perlu diperluaskan lagi ke seluruh kelompok masyarakat dan tidak tertumpu pada para atlet berprestasi tinggi sahaja.

"Dengan cara ini, kita akan menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan sukan sebagai satu industri dan tidak dilihat sebagai satu kegiatan riadah semata-mata," katanya.

Simposium sehari yang dihadiri kira-kira 100 peserta itu antara lain mahu memberi pendedahan tentang perubatan, kecederaan, nutrisi dan program fizikal yang lebih profesional dan teratur, sebagai usaha memberi impak positif kepada industri sukan negara serta pihak korporat yang terlibat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

WPKL Mara Ke Separuh Akhir

Artikel Lain