suria

WPKL Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Peluang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) untuk mempertahankan gelaran juara yang dimenangi tahun lalu tampak cerah selepas menewaskan Melaka 60-21 pada saingan suku akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2010 di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, Jumaat.

Sama seperti saingan peringkat kumpulan ketika bertemu Perlis dan Negeri Sembilan pada Khamis, pasukan kendalian jurulatih Norizan Rajab itu mendominasi perlawanan sejak dari awal dan tidak menerima tentangan sengit daripada Melaka.

Norizan berkata, dia yakin anak buahnya mampu mengulangi kejayaan pada edisi tahun lalu selepas melihat prestasi permainan mereka dari semasa ke semasa.

"Semua pemain bermain dengan baik dan jurang mata kami dengan pasukan Melaka begitu jauh. Saya amat yakin kami mampu memenangi perlawanan pada tahun ini," katanya ketika ditemui Mingguan mStar selepas tamat perlawanan.

Keyakinan itu turut dikuatkan lagi dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman yang juga merupkan pemain kebangsaan iaitu, Nor Ezzini, Siti Sri Dalimah dan Nor Syafazliana.

Menurut Norizan, kebolehan pemain untuk beraksi dalam dua posisi berbeza dan taktik pertukaran pemain yang ditekankan sejak perlawanan pertama sedikit sebanyak menyumbang kemaraan WPKL sehingga ke peringkat ini.

"Hampir semua pemain boleh beraksi dalam dua posisi berbeza. Ia antara kelebihan yang dimiliki pasukan kami. Kami juga bebas daripada sebarang kecederaan pada ketika ini," jelasnya yang merupakan bekas pemain bola jaring.

WPKL akan bertemu Kedah pada saingan separuh akhir, Sabtu. Kedah menewaskan Pahang 46-26 pada pertemuan suku akhir, Jumaat.

Sementara itu, dalam perlawanan peringkat kumpulan untuk naib juara dan tempat ketiga, Perlis menghentikan langkah Negeri Sembilan dengan catatan 37-32, Pahang menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 38-24, Melaka menang tipis 34-33 ke atas Perak manakala Terengganu dan Polis Diraja Malaysia terikat dengan keputusan 34-34.

Edisi ke-32 kali ini akan menjadi medan buat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) memilih pemain terbaik untuk mewakili negara pada Kejohanan Bola Jaring Dunia di Singapura, Jun tahun depan.

Artikel Sebelum

WPKL Mara Ke Separuh Akhir

Artikel Berikut

Artikel Lain