ALOR SETAR: Kedah yakin mampu mencapai kemenangan dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di tempat lawan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-1V, Kota Baru Sabtu ini walaupun Kelantan dilihat memiliki kelebihan sebagai tuan rumah.Jurulatih Kedah, Ahmad Yusuf berkata berdasarkan rekod perlawanan Kedah menentang Kelantan dalam Piala FA yang lalu, pasukannya mampu mempertahankan kemenangan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kedah, sekaligus layak ke perlawanan akhir. Katanya ini ditambah lagi dengan kembalinya dua tonggak utama Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Abu yang digantung dalam perlawanan separuh akhir pertama malam tadi, yang akan memantapkan lagi jentera pasukan itu dalam usaha memburu kemenangan."Saya akui pemain Kedah mempunyai satu tugas yang berat menentang Kelantan nanti kerana bermain di tempat lawan dan saya rasa pemain saya akan dapat menggalas tanggungjawab ini serta bermain dengan baik di sana bagi memastikan gol kemenangan milik Kedah," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.Mengenai kegagalan Kedah mengutip sebarang jaringan di tempat sendiri dengan keputusan perlawanan berakhir 0-0, beliau berkata ia disebabkan insiden yang berlaku kepada Mohd Azmi Muslim yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-11 kerana mengalami kecederaan.Katanya ia menyebabkan corak permain Kedah agak hambar dan beberapa percubaan berbahaya ke gawang lawan oleh Khyril Muhymeen dan Badrol Bahktiar berjaya dihalang oleh pertahanan dan penjaga gol Kelantan.Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darulaman, Kedah gagal menggunakan peluang bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 0-0, sekaligus mengecewakan kira-kira 30,000 penonton setia Hijau Kuning yang hadir.Ahmad juga menyifatkan masa perlawanan separuh akhir yang terlalu rapat dengan perlawanan suku akhir memberi kesan kepada pemainnya yang belum pulih daripada kecederaan setelah bermain dalam suku akhir kedua menentang Terengganu Sabtu lepas.Sementara itu, jurulatih pasukan Kelantan, B. Sathianathan berkata terikat tanpa jaringan di tempat lawan memberi peluang kepada Kelantan untuk mencipta gol kemenangan di tempat sendiri.Katanya Kelantan bermain dengan cukup baik di Stadium Darulaman apabila menguasai perlawanan separuh masa kedua dan menyaksikan pasukan itu melakukan beberapa cubaan menarik dan hampir menjaringkan gol di tempat lawan."Bukan mudah untuk menumpaskan Kelantan di tempat sendiri. Saya yakin di Kelantan nanti kami akan memperolehi kemenangan dan sekaligus layak untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia," katanya. - BERNAMA