suria

Tiket Perlawanan Akhir Piala Malaysia Habis Dijual Di Seremban

SEREMBAN: Tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini telah habis dijual di sini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Abd Halim Abd Latiff berkata apa yang paling mengejutkan pihaknya ialah semua 30,000 tiket berharga RM50, RM30 dan RM5 yang diperuntukkan untuk penyokong Negeri Sembilan telah habis dijual dalam tempoh dua hari.

"Saya mengucapkan terima kasih atas sokongan padu para penyokong kerana mendapat sambutan di luar jangkaan. Ini satu yang di luar dugaan. Bagaimanapun, saya juga meminta maaf kepada mereka yang tidak dapat membeli tiket," katanya kepada Bernama di sini, pada Rabu.

PBNS mula menjual tiket berkenaan di pejabat PBNS dan Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sini, Selasa.

Sementara itu, katanya pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk melanjutkan masa dan menambah perkhidmatan komuter untuk memudahkan penyokong Negeri Sembilan pergi dan balik ke Bukit Jalil.

"Perbincangan akan turut diadakan dengan syarikat bas di negeri ini untuk pengangkutan penyokong ke Bukit Jalil dan sebaliknya," katanya.

Beliau juga meminta agar penyokong Negeri Sembilan datang beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil dengan memakai kemeja-T kuning.

Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9FUTBOL.COM) Mohd Faidzul Mohamad Noh pula meminta PBNS agar meminta tiket tambahan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Saya difahamkan tiket tambahan itu akan dijual di Bukit Jalil sebelum perlawanan akhir bermula Sabtu ini. Tapi saya merasakan adalah lebih baik tiket tambahan ini dijual di Seremban dan Kota Baharu bagi mengelak kesesakan di Bukit Jalil pada hari tersebut.

"Dipercayai 60,000 tiket telah habis dijual di Seremban dan Kota Baharu. Jadi ada lagi 30,000 tiket tambahan dan di sini saya merayu agar tiket tambahan ini diagihkan iaitu 15,000 dijual di Seremban manakala selebihnya dijual di Kota Baharu.

"Janganlah hampakan harapan penyokong kedua-dua pasukan untuk ke Bukit Jalil kerana isu tiket mahal tidak timbul. Oleh itu, saya minta FAM segera mengeluarkan tiket tambahan itu di Seremban dan Kota Baharu," katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama di STAR mendapati kira-kira 100 penyokong Negeri Sembilan melahirkan rasa kecewa dan hampa kerana kehabisan tiket.

Salah seorang daripada mereka, Ramli Harun, 48, berkata perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam keghairahan penyokong untuk menyaksikan perlawanan akhir.

Anuar Abu Bakar, 50, dari Palong pula berkata jika perancangan dibuat rapi masalah kehabisan tiket tidak timbul memandangkan Stadium Nasional itu mempunyai kapasiti sehingga 100,000 penonton.

"Saya datang dari jauh dan sampai di stadium mendapati tiket dah habis. Masalahnya kami dah tempah bas untuk ke Bukit Jalil tapi tiket pula tiada...sungguh kecewa dan menghampakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain