KOTA BARU: Sebanyak 10,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada Sabtu ini yang dijual kepada peminat di sini hari ini, habis dalam masa sejam sebaik kaunter jualan dibuka pada pukul 10 pagi.Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tuan Hashim Tuan Yaakob berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 30,000 tiket yang diperuntukkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Kelantan. "Mengikut keputusan mesyuarat Kafa kelmarin, baki sebanyak 5,000 tiket akan diperuntukan kepada rakyat Kelantan yang berada di Lembah Klang, 10,000 lagi untuk penyokong Kelantan yang berlepas secara rombongan ke Bukit Jalil, sementara 5,000 lagi untuk diagihkan kepada kelab dan persatuan bola sepak jajahan di bawah Kafa," katanya kepada Bernama.Beliau berkata semua tiket dijual pada harga RM30, dan tidak seperti yang dicadangkan sebelum ini iaitu harga pakej RM40 yang meliputi cenderahati.Semalam, Timbalan Presiden kelab Bola Sepak Siber Kelantan (Kelantan.net) Nik Salehuddin Nik Abdul Razak dilapor berkata pihaknya akan memulaukan perlawanan tersebut jika Kafa bertegas memaksa penyokong membeli tiket pada harga pakej.Mengulas lanjut, Tuan Hashim berkata Kafa tidak memaksa peminat membeli tiket pada harga pakej yang menyaksikan peminat turut diberi bendera dan produk 'Red Warriors'."Cuma kita menggalakkan mereka berbuat demikian atas dasar turut memberi sokongan kepada pemain Red Wariors yang berjaya ke peringkat akhir perlawanan itu," katanya.Sementara itu, peminat dan anggota kelab penyokong bola sepak itu menarik nafas lega apabila mendapati pihak pengurusan Kafa menjual tiket dengan harga biasa pada RM30 sebagaimana yang ditetapkan FAM."Bagaimanapun, kami masih berasa terkilan kerana pihak FAM tidak begitu prihatin terhadap semangat sukan yang ditunjukkan penyokong Kelantan dengan menaikkan harga tiket (berbanding perlawanan peringkat awal hanya RM15)," katanya. - BERNAMA