SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan sebanyak 30,000 tiket kepada para penyokong pasukan Negeri Sembilan yang akan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Abd Halim Abd Latiff berkata tiket-tiket berharga RM50 (grand stand), RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak) untuk para penyokong skuad Rusa yang ingin menyaksikan perlawanan akhir itu mula dijual di pejabat PBNS di sini, Selasa. "Selepas ini tiket boleh didapati di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) , Paroi dan pejabat PBNS yang akan dijual mulai pukul 10 pagi esok hingga Jumaat ini," katanya kepada Bernama di sini.Beliau meminta peminat dan penyokong agar datang beramai-ramai memenuhi ruang stadium Sabtu ini bagi memberi sokongan padu kepada skuad Rusa."Datanglah beramai-ramai dengan memakai baju-T kuning bagi memberi semangat dan sokongan padu kepada skuad Rusa dalam misi mempertahankan kejuaraan," katanya.Sementara itu, Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9FUTBOL.COM) Mohd Faidzul Mohamad Noh meminta kenderaan termasuk bas yang akan membawa para penyokong ke Bukit Jalil agar berkumpul di STAR Sabtu ini."Kita akan bergerak secara berkonvoi ke Bukit Jalil mulai pukul 2 petang," katanya. - BERNAMA