suria

Zolkples Minta Semua Atlet Tingkatkan Prestasi

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga Chef de Mission (CDM) ke Sukan Asia, Datuk Zolkples Embong meminta atlet-atlet yang telah layak beraksi di Guangzhou pada 12 hingga 27 November ini agar meningkatkan prestasi masing-masing menjelang kejohanan sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik itu.

Zolkples berkata, walaupun Sukan Komanwel baru sahaja tamat, semua atlet tidak boleh berpuas hati dengan prestasi di sana, malah mereka perlu memperbaiki pencapaian bagi menghadapi Sukan Asia ini.

"Mereka perlu memberi perhatian sepenuhnya dan prestasi di Sukan Komanwel itu akan tidak sama di Sukan Asia. Kepada acara sukan yang tidak disasarkan pingat, mereka perlu lebih berusaha," katanya kepada media selepas Mesyuarat Pengurus-Pengurus Pasukan Ke Sukan Asia, Selasa.

Sementara itu Zolkples berkata, sehingga kini seramai 339 orang atlet bakal berangkat ke China bersama 126 orang pegawai.

"Seramai 209 atlet lelaki dan 130 atlet wanita dan jumlah ini masih belum disahkan kerana masih menunggu keputusan atlet olahraga kategori B. Setakat ini hanya penyertaan atlet olahraga kategori A, manakala selebihnya keputusan siapa yang layak akan diketahui sebaik sahaja kejohanan olahraga yang sedang berlangsung ini tamat termasuk Norasheela Khalid.

"Jumlah rasmi akan diketahui sebelum 2 November ini," katanya.

Selain itu juga, Zolkples berkata pihaknya juga masih menunggu hasil laporan dua atlet angkat berat yang telah menyumbang emas pada Sukan Komanwel baru-baru ini, Amirul Hamizan Ibrahim dan Arrico Jumitih kerana mengalami kecederaan.

"Mereka berdua belum lagi mengesahkan penyertaan, manakala lima orang pemain ragbi yang cedera juga akan dikenal pasti mengenai status mereka. Sekiranya disahkan tidak boleh bermain, pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memberi kata putus sama ada boleh digantikan pemain lain atau tidak. Ini kerana pemain gantian boleh digunakan berdasarkan senarai penyertaan yang disenaraikan sahaja.

"Selain itu, skuad memanah kategori B wanita juga menarik diri daripada beraksi pada Sukan Asia," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain