KUALA LUMPUR: Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan yang berakhir semalam tidak menjelmakan sebarang jaguh baru yang dapat dibanggakan negara.Tidak seorang pun bakat baru yang bertanding di kejohanan anjuran Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang diadakan di Trek Mini Majlis Sukan Negara di sini, mampu dipilih untuk menggalas cabaran negara setidak-tidaknya di Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China dari 12 hingga 27 Nov ini. Kejohanan tidak merekod pencapaian yang memberangsangkan.Bagi acara lompat bergalah misalnya, walaupun Roslinda Samsu mengutip emas dengan catatan ketinggian 4.10 meter, namun ia tersasar ke belakang berbanding rekod kejohanan 4.20 meter yang dibuat oleh Phuong Le Thi pada tahun 2004.Keputusan itu menunjukkan kemerosotan ketara pretasinya memandangkan beliau pernah meraih perak pada Sukan Asia Doha 2006 dengan lompatan 4.35m dan pada Sukan Komanwel di Melbourne, Australia pada tahun yang sama, Roslinda mencatat 4.25m.Ini sedikit sebanyak gagal memberi keceriaan kepada KOAM walaupun atlet kebangsaan tersebut bakal mewakili negara di Guangzhou."Namun saya akan cuba untuk melakukan yang terbaik pada Sukan Asia Guangzhou nanti kerana prestasi saya pada masa kini telah semakin baik berbanding sukan Komanwel di New Delhi," jelas Roslinda.Bagi Noraseela Khalid pula, meskipun beliau meninggalkan jauh pesaingnya untuk menjuarai acara 400 meter lari berpagar wanita, namun beliau masih gagal melepasi masa had kelayakan ke Guagzhou.Beliau mencatat 58.23 saat berbanding masa catatan rakan senegara, Emmy Ah Kim yang sekadar mencatat 1 minit 10.29 saat berbanding masa kelayakan ke Guangzhou 56.85sNasib Noraseela sama ada akan tetap dihantar ke Guangzhou bakal diketahui Selasa ini selepas KOAM mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa.Bagi Timbalan Presiden KOAM Karim Ibrahim, beliau turut kecewa kerana kurangnya penyertaan atlet senior di kejohanan tersebut."Saya kecewa dengan atlet kebangsaan kita kerana kejohanan kali ini telah mendapat penyertaan dari luar negara namun gagal dimanfaatkan sebaiknya peluang ini oleh mereka."Saya berasa hairan kerana mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai kejohanan tetapi bila kejohanan diaakan di luar negara, mereka beriya-iya mahu mewakili negara," katanya.Beliau berkata walaupun KOAM mahupun Majlis Sukan Negara mempunyai masalah kewangan namun pihaknya tetap mahu menganjurkan satu pertandingan untuk membolehkan atlet negara mengukur kemampuan mereka."Atlet sedemikian bagaikan takut untuk bertanding kerana jika kalah di tempat sendiri, mereka akan mendapat malu."Ada sebahagian atlet yang memberi alasan bahawa mereka akan menduduki peperiksaan, tapi saya hairan kerana masih ramai atlet lain yang menghadapi peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia, namun tetap mampu memberikan sedikit komitmen untuk bertanding seperti Jackie Wong (pelontar peluru) dari Sarawak," katanya.Karim berkata sepatutnya atlet lama harus memberikan contoh dan teladan yang baik agar atlet baru tidak berkelakuan sedemikian di masa hadapan.-BERNAMA