KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen negara ke Sukan Asia, Datuk Zolkples Embong meminta skuad kabadi meningkatkan prestasi pada temasya yang bakal berlangsung di Guangzhou, China itu, sekali pun akan berdepan dengan pasukan yang jauh lebih kuat.Beliau berkata walaupun agak mustahil untuk Malaysia mengatasi nama besar seperti Pakistan, India dan Iran yang juga mempunyai kelebihan daripada segi saiz fizikal pemain, ia tidak bermakna skuad negara tidak berpeluang meningkatkan pencapaian. "Saya harap skuad kabadi lelaki mampu maju setidak-tidaknya ke peringkat separuh akhir," katanya kepada Bernama, di sini Khamis.Zolkples yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) berkata bagi skuad kabadi wanita yang pertama kali menyertai Sukan Asia, ia adalah peluang untuk mereka mendapat pendedahan pada peringkat antarabangsa.Beliau turut mengingatkan skuad kabadi agar menjaga nama negara sekalipun diletakkan dalam kategori B."Saya tidak akan bertolak ansur dalam soal disiplin dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas atlet mahupun pengurus pasukan yang bermasalah," katanya.Mengikut peraturan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), atlet yang layak secara merit ke sesuatu temasya diletakkan di bawah kategori A yang mana segala perbelanjaan ditanggung oleh MOM.Bagi atlet yang tidak layak secara merit tetapi turut diberi peluang untuk beraksi pula diletakkan dalam kategori B, dengan perbelanjaan ditanggung oleh persatuan.Penyertaan skuad kabadi dalam sukan Asia bermula di Busan, Korea pada 2002 namun gagal meraih sebarang pingat. - BERNAMA