suria

Bola Tampar Pantai Taruh Harapan Mara Ke Suku Akhir Di Guangzhou

KUALA LUMPUR: Skuad bola tampar pantai lelaki dan wanita negara menaruh harapan untuk mara ke saingan suku akhir pada temasya Sukan Asia di Guangzhou, China walaupun bakal berdepan tentangan hebat dari beberapa pasukan termasuk tuan rumah.

Bagi Rafi Asruki Nordin yang bergandingan dengan Khoo Chong Long, peluang mara ke suku akhir satu pencapaian yang tinggi memandangkan saingan Sukan Asia adalah sukar kerana berdepan dengan pasukan hebat seperti China, Kazakhstan, Indonesia dan Jepun

Bercakap kepada Bernama di sini Rabu, Rafi Asruki, 23, berkata meskipun faktor fizikal adalah antara faktor penentu dalam sesuatu kemenangan namun ia juga bergantung kepada prestasi pada temasya itu.

"Pesaing luar rata-rata memiliki ketinggian yang lebih tinggi dari kami namun itu bukan penghalangnya kerana kami yakin tetap akan memberi saingan," katanya.

Sebaliknya kata Rafi Asruki, kelemahan utama skuad negara ialah ketiadaan pengganti sekiranya salah seorang pemain mengalami kecederaan.

Katanya berkata pencapaian terbaik skuad bola tampar negara ialah meraih pingat gangsa ketika beraksi pada Sukan SEA di Korat (2007) dan Vientiane (2009).

Selain Rafi Asruki dan Chong Long, cabaran bola tampar pantai negara di temasya yang berlangsung dari 12 hingga 27 November itu turut digalas dua pemain wanita iaitu Beh Shun Ting dan Luk Teck Hwa.

Skuad dibimbing jurulatih Sham Sai Mon. - BERNAMA

Artikel Berikut

Jadual Perlawanan Liga Juara-Juara

Artikel Lain