suria

Sukan Asia: Daniel Bego Tempat Ketujuh Acara Kuak Kupu-Kupu

GUANGZHOU: Perenang negara Daniel Bego gagal membuat impak di Pusat Akuatik Aoti di sini malam ini apabila sekadar menduduki tempat ketujuh dalam acara 200 meter kuak kupu-kupu lelaki.

Di Sukan Asia ke-16 di sini, perenang kelahiran Sarawak berusia 21 tahun ini sebelum ini bertekad untuk membaiki persembahan yang dibuatnya pada Sukan Asia di Doha, Qatar pada 2006.

"Saya tidak akan berbohong, saya langsung tidak berpuas hati. Saya jangkakan masa yang lebih pantas dan saya turut melakukan beberapa kesilapan yang tidak patut saya lakukan. Ini sudah saya jangka sejak awal kerana persiapan saya yang singkat," katanya selepas acara tersebut, Sabtu.

Beliau berkata pertandingan malam ini akan dijadikan pengajaran buatnya.

Dalam acara peringkat akhir itu, Daniel mencatat 2 minit 01.52 saat iaitu 10.71 saat ketinggalan berbanding masa yang dicatat pemenang pingat emas dari Jepun, Takeshi Matsuda.

"Pertandingan ini adalah sangat sukar. Seperti yang kamu boleh lihat, perenang Jepun adalah sangat pantas," katanya yang sebelum ini tidak menyertai sebarang kejohanan kerana lebih menumpukan perhatian kepada pengajiannya dan hanya kembali bertanding di Sukan Komanwel di New Delhi, India bulan lalu.

Di Guangzhou, beliau hanya menumpukan pada acara kuak kupu-kupu.

Hanya sekadar menduduki tempat keenam di Sukan Asia Doha empat tahun lalu dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu, beliau berazam untuk memecah rekod peribadi terbaiknya dengan catatan 53.82s sebelum ini dalam acara tersebut di sini esok.

Bagi kuartet acara 4x100m rampaian wanita, Chan Kah Yan, Christina Loh, Khoo Cai Lin dan Chui Lai Kwan hanya mampu menduduki tempat ketujuh dengan catatan 4:23.57s. Mereka memasuki peringkat akhir acara tersebut berdasarkan merit. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain