GUANGZHOU: Gandingan Adrian Ang dan Alex Liew menyumbang emas ketiga negara pada Sukan Asia ke-16 apabila berjaya menguasai acara boling berpasangan lelaki di Dewan Boling Tianhe, di sini, Rabu.Gandingan Malaysia itu mengumpul 2,711 jatuhan pin, iaitu kelebihan 20 jatuhan pin untuk menewaskan pencabar terdekat Shogo Wada-Tomokatsu Yamashita dari Jepun dan gandingan Singapura Jason Yeung Nathan-Remy Ong. Pasangan Jepun dan Singapura itu masing-masing berkongsi pingat perak dengan catatan sama berjumlah 2,691 jatuhan pin."Ini adalah detik penuh emosi dan bermakna bagi diri saya. Saya rasa gugup sepanjang pertandingan dan tidak berani melihat aksi pemain lain pada sesi tengah hari."Selepas banyak kali mewakili negara, ini adalah pingat emas pertama saya dalam Sukan Asia," kata Alex, seorang pemain senior berusia 34 tahun yang julung kali mewakili Malaysia pada Sukan Asia 1998 di Bangkok."Adalah sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini. Saya perlu berterima kasih kepada Adrian atas persembahan mantapnya," kata Alex.Bagi Adrian pula, penampilan sulung pada temasya itu merupakan detik paling manis bagi dirinya."Saya adalah orang paling gembira ketika ini. Pencapaian emas ini akan mendorong saya untuk melakukan terbaik pada saingan seterusnya."Saya sedar cabaran sengit dari negara jiran, Singapura dan sebab itu saya dan Alex tidak berani melihat persembahan mereka kerana situasi terlalu tegang," kata pemain berusia 22 tahun itu.Gandingan negara lain, Zulmazran Zulkifli-Aaron Kong dan Muhammad Nur Aiman Khairuddin-Mohd Syafiq Ridhwan Abdul Malek, tidak dapat menandingi persembahan mantap oleh Alex dan Adrian.Zulmazran and Aaron menduduki tempat ke-23 dengan 2,467 jatuhan pin manakala Muhamad Nur Aiman dan Mohd Syafiq Ridhwan di tempat ke-31 dengan mengumpul 2,420 jatuhan pin.Kejayaan Alex dan Adrian itu merupakan pencapaian sulung negara dalam acara berpasangan lelaki Sukan Asia sejak 1978.Skuad lelaki negara telah memperoleh emas pertama acara berpasukan pada Sukan Asia 1978 di Bangkok dengan jurulatih negara Holloway Cheah merupakan antara pemain skuad itu.Pada Sukan Asia lepas di Doha, Oatar, pada 2006, pemain lelaki negara meraih emas dalam acara trio menerusi Daniel Lim, Beng Heng dan Aaron Kong.Esok, sukan boling disambung dengan acara berpasangan wanita. - BERNAMA