suria

Tiada Emas Hari Ke-11, Hoki Lelaki Cipta Sejarah

GUANGZHOU: Malaysia mengakhiri saingan hari ke-11 tanpa kilauan emas tetapi suasana muram itu telah diubati dengan pencapaian bersejarah oleh pasukan hoki lelaki negara pada temasya Sukan Asia.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen mencipta kejutan paling besar apabila anak buahnya melangkah ke final buat julung kali sejak edisi 1958 dengan menewaskan India 4-3 dalam masa tambahan separuh akhir.

Malaysia akan menentang Pakistan pada final, Khamis ini.

Pencapaian skuad hoki itu telah membayangi pencapaian dua pingat perak oleh penerjun Yeoh Ken Nee-Bryan Nickson Lomas dan gandingan Leong Mun Yee-Pandelela Rinong.

Ken Nee-Bryan merangkul perak dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki manakala Mun Yee-Pandelela turut meraih pingat sama dalam acara 10m Platform seirama wanita.

Pemain wanita Luk Tech Hua-Beh Shun Thing terlepas pingat gangsa selepas tumpas kepada pasangan Thailand Sannok Jarunee-Tenpaksee Usa 18-21, 14-21 pada perlawanan bola tampar pantai.

Malaysia juga kecewa dalam acara olahraga apabila atlet lompat tinggi negara Lee Hup Wei hanya sekadar melepasi ketinggian 2.15m, sekaligus gagal memperbaiki ketinggian 2.23m yang dicapai pada Sukan Komanwel di New Delhi, bulan lepas.

Tanpa sebarang emas untuk memperkukuhkan kedudukan, Malaysia turun satu anak tangga untuk tempat ke-10 dalam carta pungutan pingat dengan enam emas, 13 perak dan lapan gangsa.

Thailand memintas Malaysia di tangga kesembilan serta menjadi pasukan terbaik ASEAN dengan mengumpul tujuh emas, tujuh perak dan 26 pingat gangsa.

Bagaimanapun, China terus menungguli kilauan emas dengan meninggalkan jauh negara-negara lain dengan 165 emas, 85 perak dan 79 gangsa, iaitu kelebihan 101 butir emas berbanding pencabar terdekat Korea Selatan yang memiliki 64 emas, 55 perak dan 74 gangsa.

Jepun menduduki tempat ketiga dengan pungutan 34 emas, 64 perak and 68 gangsa.

Hari ini, atlet Malaysia akan bersaing dalam beberapa acara emas khususnya di gelanggang boling di mana Alex Liew dan Aaron Kong berentap dalam acara Masters lelaki manakala Sharon Koh dan Esther Cheah beraksi dalam Masters wanita.

Pada acara sepak takraw, Malaysia akan menentang musuh tradisi Thailand dalam final kategori antara regu.

Atlet karate negara akan membuka gelanggang esok serta menjadi tumpuan buruan pingat selepas menghadiahkan empat emas pada edisi lepas di Doha, Qatar, pada 2006. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain