GUANGZHOU: Malaysia semakin hampir untuk mencapai sasaran sembilan emas pada Sukan Asia ke-16 di sini apabila pemain boling Alex Liew menyumbang emas keenam negara pada saingan hari ke-11, Isnin.Selain meraih emas acara All-Events, yang juga emas berganda buat dirinya, Alex turut membantu pasukan negara meraih pingat perak dalam acara berpasukan. Penerjun negara menceriakan kontinjen Malaysia apabila mengejutkan dengan dua butir perak dalam acara lelaki dan wanita.Bryan Nickson Lomas dan Ooi Tse Liang memperoleh pingat perak dalam acara Platform 10m seirama dan pasangan wanita Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal seirama.Selepas persembahan hambar tanpa sebarang pingat, skuad boling wanita akhirnya memecahkan kebuntuan dengan sumbangan pingat gangsa dalam acara berpasukan.Gandingan Luk Tech Hua dan Beh Shun Ting gagal menyekat pasangan China Huang Ying dan Yue Yuan dalam acara separuh akhir bola tampar pantai wanita selepas tewas 7-21, 13-21.Pasangan Malaysia itu akan menentang gandingan Thailand, Tenpaksee Usa dan Sannok Jarunee, dalam penentuan gangsa, hari ini.Pasukan memanah lelaki bagi acara Recurve Berpasukan yang dibarisi oleh Cheng Chu Sian, Mohd Izzuddin Abdul Rahim, Arif Farhan Ibrahim Putra tewas kepada gandingan China 220-224 dalam saingan suku akhir.Selepas tamat semua acara melibatkan atlet Malaysia pada Isnin, kontinjen negara mengumpul keseluruhan enam emas, 11 perak dan lapan gangsa untuk menduduki tangga kesembilan keseluruhan dalam carta kutipan pingat.Tuan rumah China terus unggul dengan kutipan 154 emas, 77 perak dan 73 gangsa diikuti Korea Selatan (61, 51, 66) dan Jepun (32, 59, 67).Hari ini, tumpuan terarah kepada acara boling yang diharap terus menghasilkan emas.Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei juga akan beraksi dalam acara akhir sementara pasukan hoki lelaki negara akan menentang India pada perlawanan separuh akhir. - BERNAMA