KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara berhasrat untuk mengadakan perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi memberi penjelasan berhubung prestasi buruk mereka pada Sukan Asia di Guangzhou, China baru-baru ini.Para altet itu mendakwa kegagalan mereka mempunyai kaitan dengan kecewaaan mereka dengan sikap individu tertentu dalam pentadbiran Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM). Ratu lari berpagar 400 meter negara, Noraseela Khalid berkata beliau dan rakan atlet olahraga lain turut bersedih kerana gagal membawa pulang sebarang pingat dari Sukan Asia hingga mendapat teguran daripada pelbagai pihak termasuk dari Ahmad Shabery. "Kami semua atlet olahraga telah berusaha bersungguh-sungguh namun masih gagal untuk mendapat pingat untuk negara," katanya yang mewakili atlet negara kepada Bernama di sini, Jumaat.Menurutnya salah satu sebab kegagalan itu ialah ekoran atlet olahraga kurang mendapat peluang untuk mengikuti pertandingan kompetitif sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Asia.Noraseela berkata ada antara atlet olahraga hanya mengetahui mereka terpilih menyertai Sukan Asia seminggu sebelum tarikh kejohanan."Saya dan rakan-rakan kecewa dengan sikap individu tertentu yang tidak mempunyai sikap untuk membela atlet walaupun KOAM adalah antara persatuan sukan yang tertua di negara ini," katanya sambil berharap Ahmad Shabery bersetuju untuk mengadakan pertemuan itu.Beliau berkata ramai yang tidak mengetahui apa yang menimpa atlet olahraga dan kini telah tiba masanya untuk atlet membantu diri sendiri dan kurang berharap kepada KOAM.Pemenang pingat gangsa Sukan Asia edisi Doha, Qatar pada empat tahun lepas itu berkata tindakan yang bakal dilakukan bukan bermaksub untuk membelakangi KOAM tetapi untuk masa depan atlet dan sukan olahraga itu sendiri.Ketika beraksi di Guangzhou, Noraseela hanya mampu menduduki tempat kelima dalam saingan akhir dengan catatan 57.22 saat.Ahmad Shabery sebelum ini meluahkan rasa kecewa dan malu terhadap aksi hambar atlet olahraga negara yang gagal membawa balik walaupun sebutir pingat dari Sukan Asia. - BERNAMA