KUALA LUMPUR: Biarpun hanya pergi dengan tiket kategori B, skuad goalball negara tetap bersemangat untuk mempersembahkan aksi terbaik pada Sukan Para Asia yang akan berlangsung di Guangzhou, China, dari 12 hingga 19 Disember ini.Jurulatihnya D.Narayanasamy berkata kesemua enam pemain begitu bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk beraksi di Guangzhou. "Dalam acara goalball, kita bukanlah sebuah pasukan yang hebat. Sekiranya mampu mencapai tempat antara lima terbaik, itu sudah cukup bagi kita," katanya kepada Bernama pada Jumaat.Narayanasamy berkata, antara negara yang kuat dalam acara ini ialah Iran, China, Jepun dan Korea Selatan."Buat masa ini Malaysia hanya menghantar pasukan lelaki namun saya berharap kita mampu membentuk pasukan wanita pada masa hadapan," katanya.Skuad itu dijadual bertolak ke Guangzhou pada Isnin.Enam pemain yang akan menggalas cabaran negara di Guangzhou ialah Hilmi Mohd Zulkifly, C.Sathiro, Husnaini Samsudin, Hadi Sayong, Shah Aizat Shahrin dan Mohd Khairul Nizam Che Ibrahim.Goalball adalah acara sukan yang direka untuk atlet cacat penglihatan. Ia diperkenalkan sebagai satu acara pada Sukan Paralimpik di Toronto, Kanada, pada 1976.Selain daripada acara sukan goalball, Malaysia turut mengambil bahagian dalam 14 lagi acara sukan lain dan antaranya ialah badminton, memanah, olahraga, ping pong, powerlifting, renang, tenpin boling, tenis kerusi roda, berbasikal dan mendayung. - BERNAMA