suria

Andrew Oon Ikuti Program Kejurulatihan Renang Di Australia

KUALA LUMPUR: Jurulatih renang Andrew Oon telah dipilih mengikuti program biasiswa kejurulatihan elit Australia mulai 29 November lalu hingga 7 Januari depan di Perth, Australia.

Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia berkata program biasiswa itu dibiayai melalui geran dari Institut Australia-Malaysia (AMI).

"Penempatan itu adalah dibawah inisiatif program pembangunan kejurulatihan Majlis Sukan Negara (MSN). Oon telah dicalonkan oleh MSN," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Onn mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kejurulatihan secara kompetitif, mengendalikan kursus awal renang dan mempersiapkan barisan perenang untuk pertandingan, katanya.

Oon, yang kini menjadi ketua jurulatih dan pengurus pasukan Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), turut membantu perenangnya memenangi pingat emas dalam pelbagai kejohanan peringkat negeri.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Edwin Chong berkata menerusi program itu Oon akan menimba pengetahuan daripada pakar renang Australia, sebuah negara yang telah melahirkan ramai jaguh renang dunia.

"Harap selepas ini akan ada lagi program-program seperti ini. Saya percaya hasilnya akan dapat digunakan untuk pembangunan sukan renang di Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Artikel Lain