KUALA LUMPUR: Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) hari ini menyatakan hasrat mahu membawa masuk dua penerjun lelaki ke dalam program 'Road To London 2012' setelah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada dua temasya besar tahun ini.Setiausaha Kehormat ASUM, Edwin Chong berkata dua penerjun yang dilihat berpotensi itu ialah Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee, ekoran prestasi yang memberangsangkan ditunjukkan mereka pada Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia di Guangzhou. "Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong sebelum ini ada mengatakan bahawa MSN mahu menambah beberapa atlet skuad terjun negara ke dalam program tersebut jika menunjukkan prestasi cemerlang pada Sukan Asia."Oleh itu, kita memutuskan Bryan dan Ken Nee akan dimasukkan ke dalam program ini bersama dua lagi penerjun negara kerana mereka dilihat berpotensi menjadi prospek pingat emas buat negara dalam Sukan Olimpik London pada 2012 nanti," katanya, Isnin.Terdahulu, dua penerjun wanita iaitu Pandelela Rinong Pamg dan Leong Mun Yee telah disenaraikan dalam program 'Road To London 2012' bersama tiga lagi jenis sukan iaitu badminton, berbasikal dan hoki.Skuad terjun negara gah di Sukan Komanwel New Delhi menerusi kehebatan Pandelela Rinong yang memenangi emas bagi acara 10m platform wanita dan kemudiannya bergandingan dengan Mun Yee dalam acara 10m platform serentak untuk meraih pingat perak.Penampilan memukau skuad terjun turut disokong dengan kejayaan wakil lelaki hasil kemampuan Bryan Nickson Lomas menyumbang gangsa bagi acara 10m platform lelaki.Dia sekali lagi berpasangan dengan Yeoh Ken Nee kemudiannya untuk meraih gangsa.Pencapaian barisan penerjun seperti Pandelela, Mun Yee, Ken Nee, Bryan, Oii Tze Liang, Ng Yan Yee dan Cheong Jun Hoong adalah yang terbaik pernah dilakar penerjun negara di Sukan Asia di Guangzhou dengan membawa pulang empat perak dan lima gangsa sekaligus memperbaiki pencapaian di Doha berbanding satu perak tiga gangsa empat tahun lalu.Edwin Chong berkata misi seterusnya barisan penerjun negara adalah di Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-14 di Shanghai, China, Julai tahun depan."Kita tetap menghantar skuad terjun negara berlatih di China bagi menguatkan lagi keyakinan untuk meneruskan kejayaan," katanya.Ditanya mengenai rombakan kecil ASUM dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang berlangsung semalam, beliau berkata ASUM kekal diterajui oleh Datuk Seri Shahidan Kassim selaku presiden.Ia sekaligus membolehkan Shahidan meneruskan perancangannya sehingga tahun 2012 setelah mula mengambil alih ASUM semenjak tahun 1996."Hanya sedikit perubahanan iaitu Nawawi Reduan dari Presiden Persatuan Renang Amatur Melaka dipilih sebagai naib presiden dua menggantikan kerusi Zainal Othman manakala naib presiden satu Oon Kee Seng masih kekal," kata Edwin Chong.-BERNAMA