SEPANG: Kejayaan atlet paralimpik negara meraih sembilan pingat emas pada edisi pertama Sukan Para Asia di Guangzhou, China dilihat sebagai kejayaan yang terbaik, kata Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz."Sukan Para Asia adalah satu permulaan dan kita telah mencipta sejarah dan lembaran baru. "Selepas ini terpulang kepada kontinjen selepas ini meningkatkan daya usaha untuk mendapatkan kejayaan yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Isnin.Pada edisi pertama Sukan Para Asia Guangzhou, kontinjen Malaysia meraih sembilan pingat emas, melebihi sasaran yang dijangkakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu lapan pingat emas.Selain itu, kontinjen Malaysia turut meraih 13 pingat perak dan 23 pingat gangsa, di samping mencipta satu rekod baru Asia dalam acara renang. Hasil kejayaan itu, Malaysia menduduki tangga keenam keseluruhan daripada 45 negara peserta dan tuan rumah, China mengungguli tangga teratas dengan 182 pingat emas, 117 perak dan 88 gangsa.Menurut Dr Ramlan yang juga Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), kejayaan yang dikecapi di Guangzhou itu adalah hasil daripada kejayaan semua atlet dalam kontinjen berkenaan."Syukur kita dapat mencapai melebihi daripada sasaran yang kita buat. Ini adalah kejayaan bukan sahaja kejayaan atlet yang mendapat pingat malah ia adalah milik seluruh kontinjen."Kita pergi sebagai satu kontinjen dan apa-apa pencapaian pingat, ia adalah kejayaan kontinjen juga. Kita semua berbangga dengan kejayaan rakan-rakan atlet yang berjaya meraih pingat," katanya.Dr Ramlan berkata kejayaan yang dicipta pada edisi sulung Sukan Para Asia itu akan dijadikan asas kepada semua atlet lain supaya bekerja lebih keras untuk mencapai kejayaan di masa hadapan.Menurut beliau, beberapa acara sukan pada temasya Sukan Para Asia dijadikan sebagai medan kelayakan untuk Sukan Paralimpik London 2012."Memandangkan atlet renang kita berjaya mencipta rekod baru Asia, kita akan memohon kepada IPC (Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa) untuk menjadikannya sebagai kelayakan ke Sukan Paralimpik 2012," katanya.Pada temasya itu, perenang paralimpik negara, Faridden Dawan berjaya meraih pingat emas dan memperbaharui rekod Asia dalam acara 400m gaya bebas lelaki kategori S10.Menyentuh mengenai ganjaran kepada atlet-atlet yang berjaya, Dr Ramlan berkata ia akan dipertimbangkan oleh MSN. - BERNAMA