suria

Kami Sudah Bersedia: Rajagobal

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih bola sepak negara, K.Rajagobal mengesahkan semua pemain-pemainnya telah bersedia bagi perlawanan akhir Piala Suzuki AFF menentang Indonesia pada 26 Disember (Ahad) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rajagobal berkata, dengan masa yang suntuk menjelang final ini, persediaan pasukan tidak ada beza dengan pasukan lawan dan yakin perkara sama juga dilakukan sebelum perlawanan bermakna nanti.

"Dengan masa yang terhad selepas aksi separuh akhir kedua di Hanoi minggu lalu, kami sempat menjalani persediaan yang bersesuaian dan turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Felda.

"Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan bersedia untuk bertemu pasukan Indonesia kecuali dua pemain negara, Amirul Hadi Zainal dan Khairul Muhaimi omar yang masih mengalami kecederaan," katanya pada media, Jumaat.

Bagaimana pun, Rajagobal berkata, Amirul telah turut serta pada sesi latihan hari ini dan keadaannya dilihat agak baik.

"Kemungkinan besar dia mungkin boleh bermain Ahad ini, namun kita tengoklah keadaannya nanti. Manakala siapa pemain yang bakal membarisi kesebelasan utama skuad, kita akan putuskan menjelang perlawanan nanti," katanya.

Sementara itu, Rajagobal berkata, perlawanan beraksi di tempat sendiri ini adalah peluang terbaik bagi skuad negara untuk menang sebelum pusingan kedua di Indonesia.

"Saya hanya mahu menang kerana kita tidak ada pilihan lain selain menang. Selepas ini, keadaan akan berubah sekiranya beraksi di tempat lawan. Jadi, saya mahu mereka melakukan yang terbaik dan dapatkan keputusan yang memihak kepada kita.

"Kita juga ingin melihat aksi pasukan Indonesia yang pertama kali beraksi di tempat lawan sejak kejohanan ini bermula. Kita mahu tengok mereka bermain di hadapan penonton kita," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain