JITRA: Atlet olahraga paralimpik Kedah, Zulman Kadir, kecewa kerana Jabatan Belia dan Sukan Kedah mengabaikan kebajikan atlet paralimpik.Menurutnya, jabatan itu hanya memberi imbuhan RM50 untuk pemenang pingat emas, RM30 untuk perak dan RM20 untuk pemegang pingat gangsa pada Sukan Paralimpiad di Melaka bulan lalu, yang tidak releven dan munasabah dengan kudrat yang dicurahkan oleh atlet kelainan upaya. "Saya amat kecewa dengan tindakan pihak pengurusan Jabatan Belia dan Sukan Kedah yang tidak menghiraukan kebajikan atlet paralimpik yang telah banyak berjasa dan mengharumkan nama Kedah."Mereka langsung tidak memberi hak keistimewaan kepada kami, seperti atlet normal lain yang memperolehi imbuhan ribuan ringgit setelah memperolehi pingat pada temasya sukan tertentu, sedangkan taraf sukan paralimpik adalah sama taraf dengan acara sukan lain," katanya di sini Jumaat.Zulman, 45, berkata sedangkan negeri lain memberi pengiktirafan sebaiknya serta memberi imbuhan yang tinggi kepada atlet paralimpik mereka.Di Melaka, beliau memperolehi satu emas dan dua gangsa.Beliau juga berkata atlet Kedah tidak mendapat pakaian sukan yang lengkap dan hanya diberi elaun RM60 sepanjang enam hari kejohanan."Ini mempunyai kaitan dengan mentaliti rendah yang dimiliki pihak berkenaan selama ini," katanya. - BERNAMA