PUTRAJAYA: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei ingin menjadikan kejayaan pada Kejohanan All England pada Ahad lepas sebagai pembakar semangat untuk beliau memburu Kejuaraan Dunia yang akan berlangsung di Wembley, England pada Ogos ini.Chong Wei berkata kemenangan pada edisi kali ini berbeza daripada sebelumnya kerana beliau akhirnya mampu menumpaskan musuh tradisinya Lin Dan hasil daripada kerja kerasnya sebelum ini. "Kemenangan tempoh hari telah memberi lebih keyakinan kepada saya untuk menghadapi saingan Kejuaraan Dunia pada Ogos ini."Saya juga rasa lebih yakin dan bersemangat untuk membawa balik pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik London pada tahun depan," katanya kepada pemberita pada majlis sarapan pagi bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor di Seri Perdana pada Selasa.Pemain berusia 29 tahun dari Pulau Pinang itu berkata pencabarnya Lin Din pasti akan menukar corak permainan pada pertemuan yang akan datang, oleh itu beliau akan terus berlatih secara bersungguh-sungguh bagi membina lebih kekuatan dari segi mental dan fizikal. Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Nadzmi Mohd Salleh, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Insitut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Aziz.Pada Majlis tersebut Chong Wei menerima hadiah penghargaan daripada kerajaan Malaysia yang disampaikan oleh Perdana Menteri berupa unit amanah saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM100,000 dan hadiah khas berupa seutas jam tangan sumbangan peribadi Rosmah yang juga penaung BAM.Chong Wei berkata beliau terkejut dengan hadiah tersebut dan berjanji akan berusaha dengan lebih tekun lagi untuk memenangi lebih banyak kejohanan pada masa akan."Sumbangan penghargaan yang telah diberikan oleh kerajaan ini memberi semangat kepada saya untuk memburu gelaran juara dunia di Wembley pada Ogos ini," katanya.Pada pertandingan akhir All England pada Ahad lepas, Lee Chong Wei berjaya menumpaskan Lin Dan dengan kemenangan 21-17, 21-17 yang berlangsung di National Indoor Arena (NIA), Birmingham. -BERNAMA