suria

Selangor Rampas Takhta Liga

KUALA LUMPUR: Selangor kembali melonjakkan diri ke tangga teratas Liga Super setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam Selasa.

Gol kemenangan skuad bimbingan K.Devan itu disumbangkan oleh Mohd Fadzil Saari pada minit ke-31.

Dengan kemenangan itu, juara bertahan Liga Super itu kini mengumpul 23 mata dengan memiliki satu kemenangan ke atas pencabar terdekatnya, Kelantan yang tumpas mengejut 0-4 kepada Perak selepas sebelas perlawanan.

Di Stadium Perak, IPOH, pasukan tuan rumah nyata mencipta kejutan apabila berkenduri gol 4-0 menewaskan pasukan Kelantan untuk mendapat kemenangan keenamnya.

Skuad Seladang kini mengumpul 22 mata untuk berada di tangga kedua liga sementara pasukan The Red Warriors turun satu anak tangga yang kekal mengumpul 20 mata di belakang Perak.

Md Fazrul Hazli membuka jaringan tuan rumah seawal minit ke-5 untuk menceriakan penyokong Skuad Seladang sebelum Md Shafiq Jamal meledak gol kedua pada minit ke-26 permainan untuk menewaskan penjaga sensasi gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada babak kedua, skuad bimbingan Norizan Bakar terus garang mengasak kubu pelawat dan memperoleh dua lagi gol yang dijaringkan oleh bekas penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-78 dan Razali Umar Kandasamy terus menambah derita lawan, menjaringkan gol keempat selang tiga minit kemudiannya.

Di Negeri Sembilan, pasukan tuan rumah terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Kedah menerusi jaringan 0-2 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dua gol skuad Kenari masing-masing dijaringkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-61 dan Badrol Bakhtiar (ke-88).

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pertembungan setempat antara Adik dan Abang, berkesudahan Terengganu menang tipis 1-0 ke atas T-Team yang dijaringkan menerusi Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-

Dengan kekalahan tersebut, T-Team gagal mencipta kejutan malam ini untuk mengulangi kejayaan menewaskan dua pasukan teratas liga, Kelantan dan Selangor sementara berjaya mengikat seri 0-0 menentang Perak pada perlawanan lepas.

Di Shah Alam, jaringan tunggal Harimau Muda A menerusi Mohd Syahid Saidon ke atas Kuala Lumpur membawa pasukan Harimau Muda A memperolehi tiga mata penuh.

Di Stadium Likas, pertemuan dua pasukan tercorot liga, Sabah dan Perlis berkesudahan seri 2-2 untuk masing-masing mengutip satu mata.

Pasukan Singa Utara terlebih dahulu berada di hadapan apabila Mohamad Rozaidi menjaringkan gol pada minit ke-39 pada babak pertama.

Namun kegembiraan pasukan pelawat tidak kekal lama apabila tuan rumah bangkit menjaringkan dua gol masing-masing dijaringkan oleh Md Farid Ideris pada minit ke-52 dan Leopold Alfonso Otong selang enam minit kemudian sebelum Perlis berjaya merapatkan kedudukan menerusi Mohd Faiz Subri (min-71).

Di Kuantan, Pahang dan Johor FC seri tanpa jaringan 0-0 pada pertemuan di Stadium Darul Makmur.

Sementara itu, dalam satu perlawanan Liga Perdana, tuan rumah Harimau Muda B meraih kemenangan keempatnya setelah membelasah pasukan tercorot liga, Pulau Pinang 3-1 pada pertemuan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Keputusan itu menyaksikan skuad anak didik Ismail Ibrahim mengutip mata tiga penuh bagi mengumpul 16 mata untuk berada di tangga keenam sementara pasukan dari Pulau Mutiara itu masih buntu mencari kemenangan pertamanya dalam liga musim ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain