suria

Zaidy Sasar Muncul Juara Di Batu Kawan

KUALA LUMPUR: Pelumba Motul Yamaha YY Pang, Zaidy Mohd Zaifaizal menyasar untuk menduduki tempat pertama pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang hujung minggu ini.

Pelumba dari Pulau Pinang ini tidak sabar untuk beraksi di kampung halamannya sendiri terutama di hadapan keluarga dan rakan-rakannya.

"Saya yakin dapat melakukannya kerana Stadium Batu Kawan merupakan gelanggang saya dan seringkali menjalani latihan di sini," katanya.

Pelumba kategori CP115 itu berkata permukaan litar di Stadium Batu Kawan kali ini lebih selesa memandangkan litar tersebut telah diperbaharui.

"Perlumbaan pasti akan menjadi lebih menarik. Saya tidak sabar untuk memulakan perlumbaan minggu ini," katanya yang meraih tempat ketiga pada perlumbaan pembukaan di Kangar bulan lepas.

Rakan sepasukannya, Mohd Rozaiman Mohd Said pula berazam untuk membaiki kedudukan apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelapan pada saingan di Kangar.

"Motul Yamaha YY Pang merupakan antara pasukan terkuat dalam kategori ini dengan membariskan empat pelumba kesemuanya.

"Saya harap dengan strategi pasukan yang kuat akan dapat membantu saya menaiki podium untuk menebus kesilapan bulan lepas," katanya.

Kedua-dua pelumba itu percaya beraksi di hadapan penyokong sendiri akan memberikan kelebihan buat mereka. Bagai manapun, mereka akan diberi tentangan hebat oleh pelumba dari pasukan Yamaha CKJ Sukimi, Mohd Syawalludin Mohd Zaki dan Mohd Haiekal Akmal Zakaria yang mendapat tempat keempat dan kelima pada pusingan lepas.

Beberapa pelumba lain dari Pulau Pinang juga perlu diberi perhatian termasuk Elfy Rizal Zainol, Mohd Rafiuddin Rosle dan Mohd Hafizul Hamid dari pasukan AAP Mazoil Faito Honda Racing serta Mohd Amirul Azizi dari Pachie Yuzy Honda Racing.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain