suria

Ahmad Shabery Harap Sukan Sea Tidak Terlalu Ekslusif

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berharap hak penyiaran Sukan SEA di Indonesia pada 11-25 November initidak menjadi terlalu eksklusif, melainkan ia diberitahu lebih awal.

Beliau berkata ia bagi membolehkan setiap negara menyediakan peruntukan lebih awal untuk memiliki hak penyiaran kejohanan itu, lebih-lebih lagi untuk stesen televisyen tidak berbayar.

Stesen televisyen tidak berbayar memerlukan sekurang-kurangnya setahun sebagai persiapan untuk menyediakan peruntukan dan penaja.

"Kita tidak mahu apa yang berlaku di Laos (Sukan Sea 2009) berulang sekali lagi, iaitu apabila di saat akhir mereka mengenakan bayaran hak penyiaran pada waktu itu sehingga banyak negara tidak dapat membuat liputan yang besar.

"Tanpa liputan, Sukan Sea akan dilihat hambar dan usaha tuan rumah untuk menonjolkan negara mereka terutama sekali Palembang tidak akan terhasil jika pihak media tidak diberi kesempatan membuat liputan secara menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas majlis pra pelancaran tiga lagi segmen sempena sambutan Himpunan Sejuta Belia Mei ini, Rabu.

Ahmad Shabery diminta mengulas tindakan Indonesia semalam yang tidak membenarkan liputan oleh media Malaysia walaupun untuk pelancaran maskot Sukan SEA itu dengan alasan tidak mempunyai hak penyiaran.

Ditanya sama ada perkara itu akan dibawa ke peringkat lebih tinggi, Ahmad Shabery berkata ia perlu diteliti terlebih dahulu sama ada penguatkuasaan hak penyiaran itu dikenakan oleh kerajaan Indonesia ataupun badan penganjur kejohanan itu sendiri.

"Itu dua perkara berbeza yang perlu kita lihat. Kadangkala kuasa yang ada pada penganjur itu lebih besar daripada kerajaan atau kementerian sukan, itu yang menjadi masalah," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain