suria

Terengganu Tekad Tewaskan Selangor

KUALA TERENGGANU: Terengganu menanam semangat membara untuk menumpaskan Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat ini bagi merebut takhta liga tersebut.

Selangor kini mengungguli takhta dengan memungut 32 mata hasil daripada 15 perlawanan, satu mata di hadapan Terengganu.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata hasrat itu tidak mustahil dicapai apabila pasukannya telah menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Semalam pasukan Terengganu menang lagi dengan mengatasi Sabah 2-1. Dengan komitmen pemain yang sangat baik, tidak mustahil kami boleh menghuni tangga pertama Liga Super," katanya, Rabu.

Bagaimanapun beliau mengingatkan pemainnya agar berwaspada kerana Selangor juga akan memasang impian untuk memenangi perlawanan itu setelah mereka kecundang kepada Kelantan 0-1 malam Selasa.

"Saya pasti perlawanan antara Terengganu dan Selangor Jumaat ini adalah satu perlawanan yang menarik dan sengit," katanya.

Abdullah turut meminta penonton supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan perlawanan tersebut terganggu dan PBSNT dihukum.

Beliau berkata tiket perlawanan antara Terengganu dan Selangor akan mula dijual pada 10 pagi Jumaat ini di pintu masuk stadium dengan harga RM10 di tempat duduk terbuka dan RM20 bagi tempat duduk berbumbung.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain